Antara menu yang disajikan untuk jamuan pada hari tersebut adalah nasi minyak, ayam, sayur, kari, acar, buah-buahan dan air.

Dari segi pakaian pula, pasangan ini cukup sederhana dan mengenakan solekan biasa. Lebih menarik, inai yang menghiasi jari adalah hasil sentuhan tangan rakan sepejabat pengantin.

Dalam laman sosial, mereka menyatakan bahawa kedua-duanya bersetuju untuk tidak bermewah-mewah pada hari istimewa itu.

Pada status Facebook yang dimuat naik, mereka menyatakan wang yang dikumpul akan digunakan untuk membeli rumah berbanding bermewah-mewah untuk majlis yang dianjurkan hanya beberapa jam sahaja.

Tindakan pasangan ini mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang memuji dan bersetuju bahawa bermewah-mewah semasa perkahwinan sebenarnya boleh membawa kepada pembaziran, berhutang dan menimbulkan riak.

Beban hutang

Netizen bersetuju dengan tindakan pasangan ini yang bercadang menggunakan duit simpanan mereka untuk membeli rumah kerana ia merupakan tindakan yang paling rasional.

Namun, tidak kurang netizen yang mengecam pasangan ini. Mereka berpendapat, menjadi raja sehari hanyalah sekali seumur hidup, jadi ia harus dianjurkan secara besar-besaran. Bagaimanapun pasangan pengantin baharu itu tidak mengendahkan komen yang dilontarkan, bahkan tetap dengan keputusan mereka. Kehidupan adalah hak setiap individu. Bagaimana mahu mencorakkannya bergantung kepada diri masing-masing.

Memilih untuk tidak mempunyai bebanan seperti hutang selepas berkahwin adalah satu tindakan yang wajar dicontohi.

Pasangan ini tetap dengan pendirian mereka iaitu mahu berkahwin secara sederhana daripada berhutang dan merana selepas itu.

Kita akui ada sesetengah pasangan yang melangsungkan perkahwinan di hotel-hotel mewah atau di luar negara.

Dari segi pakaian pula, mereka menempah daripada pereka ternama yang kosnya menelan ribuan ringgit. Begitu juga dengan menu untuk tetamu yang secara logiknya mencecah hingga 20 jenis. Bukankah ini satu bentuk pembaziran?

Sajian makanan yang melampau-lampau menimbul rasa tamak dalam diri pengunjung yang hadir. Ada juga makanan yang diambil dibiarkan tanpa disentuh.

Keputusan mendirikan rumah tangga adalah satu tindakan yang digalakkan tetapi ia seharusnya tidak membebankan diri dengan perbelanjaan yang keterlaluan.

Anda boleh berkahwin secara mewah tetapi hargai setiap wang ringgit yang telah dikumpul dan berbelanjalah dengan bijak untuk kebaikan semua pihak.

Bantuan rakan

Nasihat penulis lakukan perancangan awal secara terperinci. Misalnya, bandingkan harga pakej perkahwinan seperti khemah, cenderamata untuk tetamu, makanan dan sebagainya.

Perancangan dan tempahan mestilah dalam lingkungan bajet anda. Elakkan pembaziran dan jangan berhutang.

Fikirkan cara untuk menganjurkan majlis yang sederhana tetapi meriah.

Kata kuncinya ialah bincang, cari, banding dan jimat.

Binalah rumah tangga secara bijak dan berhemah. Mengapa? Selepas berkahwin ada banyak komitmen menanti seperti tempat tinggal, kenderaan, makan minum dan anak-anak yang bakal lahir.