Oleh itu marilah kita berdoa setiap hari agar Allah melimpahkan rahmat-Nya ke atas negara kita supaya sentiasa aman, sejahtera dan makmur.

Keamanan dan kesejahteraan boleh musnah jika ekonomi runtuh. Bagaimanapun berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan adalah sama penting dengan berdoa kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa dan negara tanpa kita berikhtiar bersungguh-sungguh.

Dalam soal ekonomi, Allah memberikan panduan yang sangat mudah sebagai prinsip amalan sama ada oleh individu, pertubuhan atau negara.

Dalam surah al-Furqan ayat 67, Allah berfirman: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Jika hendak memperoleh reda Allah, semestinya kita mematuhi perintah ini. Bukan sahaja oleh rakyat, bahkan para pemimpin negara.

Jika kita gagal berbelanja secara sederhana sebagaimana yang difirmankan, ditakuti bukan sahaja kita akan menanggung kerugian, malah tidak akan mendapat reda Allah. Jika ini berlaku di peringkat negara tentulah bahananya sangat besar berbentuk malapetaka.

Bayangkan musibah jika Allah tidak menurunkan hujan selama sebulan atau menurunkan hujan lebat tidak berhenti selama seminggu.

Sebaliknya, jika Allah hendak mengurniakan kemakmuran kepada sesuatu negara, dilimpahkan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Contoh paling mudah ialah beberapa negara Arab yang dikurniakan kekayaan daripada hasil minyak. Namun segalanya tidak dijamin kekal jika rakyat dan pemimpin melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Beban ini lebih berat dipikul oleh umat dan pemimpin Islam kerana merekalah yang sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini.

Balasan

Jika gagal melaksanakan tanggungjawab yang Allah berikan, lihatlah balasan yang berlaku di beberapa buah negara Islam yang hilang keamanan dan kesejahteraan.

Apakah mereka tidak lagi memperoleh reda Allah ? Puncanya ialah sebahagian daripada perintah-perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran tidak dipatuhi.

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dalam kehidupan bukannya sekadar dibaca untuk mencari pahala. Maka dalam soal ekonomi, hendaklah kita tanya sama ada perintah Allah yang begitu mudah difahami dalam ayat 67 surah Al Furqan itu sentiasa dipatuhi.

Adakah kita berbelanja lebih daripada kemampuan sehingga terpaksa berhutang dengan jumlah yang besar ?

Lazimnya jika hutang tidak boleh dibayar, harta yang dibeli dengan wang pinjaman akan menjadi hak milik pemberi hutang. Prinsip hutang ini tidak terkecuali sama ada kepada individu, syarikat, pertubuhan atau negara.

Satu lagi prinsip ekonomi yang digariskan dalam al-Quran ialah menyimpan untuk masa depan.

Prinsip ini dijelaskan dalam kisah Nabi Yusuf yang dilantik menjadi wazir atau menteri kewangan kerana kebolehannya meramalkan masa depan ekonomi negara dan mengatur strategi terbaik untuk menghadapi segala kemungkinan.

Dalam surah Yusuf ayat 46 hingga 49 Allah berfirman maksudnya: “Setelah wakil raja berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia: “Yusuf, wahai orang yang benar , tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

“Yusuf menjawab: ‘Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.”

Kesimpulannya, sama ada di peringkat individu, syarikat, pertubuhan dan negara, kita wajib mempunyai simpanan yang mencukupi untuk keperluan akan datang.

Jika hutang semakin bertimbun dan simpanan semakin berkurangan, itu adalah tanda malapetaka akan menimpa. Bukan sahaja individu boleh jatuh bankrap, malah negara juga boleh merudum seperti Greece.

Jangan salahkan sesiapa jika berlaku malapetaka ekonomi kerana kita sebenarnya telah menzalimi diri sendiri kerana tidak mematuhi panduan yang Allah gariskan dalam al-Quran.