“Adunan warna-warna dibuat dengan resipi yang berbeza-beza. Setiap formula bancuhan warna itu dibuat sendiri bagi memastikan ia dapat mencapai tahap warna yang diinginkan.

“Setiap warna itu mempunyai peranan antara satu sama lain. Warna-warna itu ibarat sebuah nyawa yang akan berinteraksi dengan warna-warna lain yang terdapat di sebelahnya,” luah pelukis terkenal negara, Datuk Tajuddin Ismail.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan tersebut menambah, warna-warna yang terpancar itu lebih bersifat moden dan kontemporari.

Beliau bercerita tentang 30 karya lukisannya yang dipertontonkan pada pameran solo Ambiguity: Tajuddin Ismail di galeri Segaris Art Centre, Publika, Kuala Lumpur.

Menurut definisi Tajuddin, karya yang baik adalah karya yang mengajak orang ramai berfikir. Begitulah apa yang ingin disampaikan menerusi lukisan-lukisan yang dipamerkan pada pameran solonya itu.

“Ambiguity yang saya maksudkan di sini adalah kesamaran dan kekaburan yang boleh menterjemahkan pelbagai makna bagi sesiapa sahaja yang melihatnya.

Memori

“Saya ingin orang yang melihat lukisan-lukisan ini membawa pengalaman dan memori mereka sendiri dalam mentafsirkan makna lukisan yang mereka lihat,” jelasnya yang mempunyai galeri sendiri iaitu TJ Fine Art yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Jika dahulu, karya seni halus lebih bersifat tradisional iaitu catan di atas sesuatu permukaan semata-mata, kini seni itu sendiri sudah moden dan boleh dipelbagaikan.

Ini termasuklah jenis-jenis medium yang digunakan.

Tajuddin menambah, beliau menjadikan papan nipis (plywood) sebagai asas kepada lukisannya, manakala menggabungkan akrilik dan minyak untuk menghasilkan tekstur pada lukisan tadi.

Menyentuh mengenai bentuk-bentuk geometri yang boleh dilihat dengan jelas pula, Tajuddin memaklumkan bentuk bersegi itu begitu mekanikal.

“Setiap lukisan itu mempunyai ukuran yang sama. Saya melukis dalam bentuk digital terlebih dahulu sebelum menghantar lukisan ini untuk mendapatkan ukuran plat-plat kayu yang dikehendaki.

“Kemudian, baru saya mewarnakannya di studio milik saya yang terletak di Centrio Pantai Hillpark, Bangsar,” ujarnya yang sudah lebih 40 tahun menceburi bidang lukisan.

Selain lukisan, beberapa buah objek instalasi turut diselitkan pada pameran Ambiguity berkenaan.

Tajuddin memberi gambaran setiap satu objek itu boleh melambangkan kebudayaan pada sesebuah bangsa.

“Misalnya bangku rotan ini saya bayangkan sering digunakan oleh kaum Cina. Di rumah-rumah mereka mempunyai kerusi ini sejak datuk, nenek dan moyang mereka lagi. Ia sudah wujud sejak berpuluh tahun dahulu.

“Kuali leper dan bulat ini pula saya gambarkan sebagai alatan memasak kaum India yang terkenal dengan pembuatan roti canai,” katanya.