Bahkan ia turut dikenali sebagai sebuah bandar berstatus kota mesra kanak-kanak atau ‘Kota Ramah Anak’ walaupun jumlah kanak-kanak yang menjadi penghuni jalanan semakin bertambah.

Isu anak jalanan itu menjadi salah satu masalah di bandar yang dikenali dengan julukan Anging Mammir.

Anak-anak jalanan yang berusia antara tiga hingga 17 tahun itu rata-ratanya memilih hidup di tepi jalan disebabkan kemiskinan yang dihadapi keluarga mereka.

Krisis ekonomi yang berlarutan menyebabkan golongan miskin semakin terpinggir dan tersepit untuk meneruskan kehidupan, sekali gus memaksa mereka mencari jalan penyelesaian mudah.

Salah satu jalannya adalah dengan membiarkan anak-anak mereka untuk mencari rezeki sebagai peminta sedekah, penyanyi jalanan, menjual surat khabar atau tidur di tepi-tepi jalan beralaskan kotak semata-mata untuk meraih simpati masyarakat.

Bagaimanapun, isu itu tidak dipandang ringan apabila Peraturan Daerah (Perda) Kota Makassar Nombor 2 Tahun 2008 mengenai Pembinaan Anak Jalanan, Gelandangan, Pengemis dan Pengamen dibuat ketika pemerintahan Wali Kota Makassar, H Ilham Arief Sirajuddin.

Ia dilaksanakan untuk menangani krisis ekonomi 1998 dan 2008 yang melanda Indonesia sehingga memberi kesan ke atas seluruh daerah di republik itu.

Kekangan dana

Berdasarkan data Pejabat Kebajikan Masyarakat Sulawesi Selatan, jumlah anak jalanan di Kota Makassar kira-kira 500 orang pada tahun 1997 dan 1998 sebelum meningkat kepada 2,300 orang pada 2005.

Dinas Sosial Kota Makassar pula mencatatkan 870 anak jalanan pada 2009 dan meningkat kepada 918 orang pada tahun 2011.

Kewujudan anak-anak jalanan yang semakin bertambah setiap tahun sudah tentunya menjadi satu masalah kepada pemerintah kota terutamanya ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri apabila menyaksikan peningkatan kira-kira 60 peratus pengemis di kawasan tersebut.

Walaupun ketika ini Dinas Sosial Kota Makassar mendakwa, bilangan orang yang mempunyai masalah kebajikan sosial terutamanya anak jalanan dan gelandangan menurun secara mendadak tahun ini, namun pemerintah kota itu tidak dapat mengatasinya kerana kekangan dana dan sumber daya manusia (SDM).

Menurut Ketua Dinas Sosial Kota Makassar, Muchtar Tahir, penurunan jumlah anak jalanan itu disebabkan oleh langkah Tim Reaksi Cepat (TRC) Saribattang yang giat melakukan rondaan dan serbuan ke atas beberapa lokasi yang menjadi tumpuan mereka.

Katanya, berdasarkan data, seramai 236 orang ditangkap oleh TRC dari Januari hingga Ogos tahun ini dan 163 orang daripada jumlah itu merupakan anak jalanan.

Keadaan itu jauh berbeza dengan tahun lalu apabila seramai 579 ditangkap dan 332 daripada jumlah itu merupakan anak jalanan. Kesemua kana-kanak yang ditahan itu diberikan semula kepada keluarga mereka.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan bahawa mereka tidak akan kembali menjadi anak jalanan atau bersekolah seperti kanak-kanak seusia mereka.

Penyelesaian

Jalan penyelesaian bagi masalah itu sudah kerap kali diusahakan oleh pihak berkenaan seperti pembinaan rumah singgah oleh Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM). Sehingga kini, sekurang-kurangnya terdapat 30 rumah singgah di kota berkenaan sejak tahun 2000.

Bantuan kewangan daripada program pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia dengan kerjasama LSM untuk mengatasi pascakrisis ekonomi yang melanda Indonesia sebelum ini diharap dapat membantu mengurangkan jumlah anak jalanan.

Bagaimanapun, secara realitinya program tersebut tidak mampu untuk membendung anak-anak jalanan yang diselamatkan daripada kembali ke jalanan.

Terdapat pelbagai aktiviti sepanjang program tersebut dilaksanakan di rumah singgah antaranya mengurangkan masalah buta huruf, kemahiran, modal kerja dan pemberian makanan tambahan.

Namun, sangat menyedihkan kerana selepas program itu berakhir kanak-kanak yang terlibat akan kembali ke jalanan.

Menurut seorang anak jalanan di Kota Makassar, Wandi, dia dan teman-temannya kembali ke jalanan kerana berasa rumah singgah berkenaan gagal membina semangat mereka selepas program bantuan selesai.

Sementara itu, pelaksanaan Perda dari segi hukumannya belum diperincikan secara jelas berhubung hak anak yang diamanahkan dalam Undang-Undang 1945 dan Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2002 tentang Perlindungan Anak.

Perlindungan golongan berkenaan terkandung dalam 10 hak asas kanak-kanak.

Ia termasuk hak untuk pendidikan, hidup dengan aman tetapi peraturan itu lebih memberi perhatian terhadap larangan ke atas kanak-kanak untuk berkeliaran di jalanan.

Keadaan itu perlu ditangani dengan mencari penyelesaian ke atas punca kanak-kanak tersebut bertindak turun semula ke jalanan seperti ekonomi, kemiskinan, mental, galakan ibu bapa, pendidikan rendah serta persekitaran sosial.

Pemerintah kota harus memastikan slogan ‘Kota Ramah Anak’ bukan hanya slogan semata-mata tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama.