Dalam usaha menuju ke arah itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu menggembleng tenaga untuk membantu membangunkan sistem pendidikan di negara ini.

Sejajar dengan matlamat itu, PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor telah merangka beberapa program untuk mengumpul dana bagi memberi kemudahan infrastruktur lengkap dan keselesaan kepada para pelajar sepanjang menjalani proses pembelajaran di sekolah tersebut.

Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah tersebut, Badariah Datuk Badaruddin, pihaknya bakal melaksanakan majlis amal makan malam dan konsert untuk mengutip dana.

“Program itu terbahagi kepada dua iaitu Majlis Amal Makan Malam Konsert Sri Aman Bersama Bintang 2018 dan Konsert Sri Aman 2018.

“Objektif penganjuran program ini adalah untuk mengumpul dana bagi membaiki infrastruktur sekolah seperti tandas, mengecat bangunan, mengganti bumbung atap genting, pendawaian dan jalan berlubang.

“Usaha ini penting untuk memberi keselesaan dan keselamatan para pelajar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Di samping itu, program tersebut juga selari dengan visi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi yang bertaraf dunia.

Mengulas mengenai program yang bakal dianjurkan itu, Badariah memberitahu, Majlis Amal Makan Malam Konsert Sri Aman Bersama Bintang 2018 akan berlangsung pada 3 Februari 2018 yang bakal dijayakan bersama enam orang artis iaitu Datuk Siti Khadijah Ibrahim, Nora Ariffin, Atilia, Anding AF2, Faizal Ramly AF4 dan Wani Kayrie.

Bagi menjayakan konsert ini, beliau menyeru individu, syarikat dan badan-badan bukan kerajaan untuk menyumbangkan dana mengikut kategori meja yang disediakan iaitu Platinum, Diamond, Emerald, Saphire, Ruby, Gold, Topaz dan Silver.

Publisiti

Setiap meja itu jumlahnya tidak sama. Sebagai contoh, Platinum berjumlah 50,000 manakala Silver pula bernilai RM1,500 dan ia terserah mengikut kemampuan masing-masing.

Selain meja, tajaan terhadap artis yang membuat persembahan turut dibuka bagi menambah dana sekolah tersebut.

Katanya, mereka yang memberi sumbangan untuk menaja meja dan artis akan diberi publisiti serta kemudahan pengiklanan secara istimewa di dalam buku cenderamata program itu.

Makan Malam Konsert Sri Aman Bersama Bintang 2018 akan berlangsung di Dewan 1 dan 2, tingkat 1, Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada pukul 7.30 hingga 11 malam.

Mengimbas latar belakang SMK (P) Sri Aman, ia ditubuhkan pada 9 Ogos 1971.

Sekolah itu dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Seksyen 14.

Banyak kejayaan yang telah dicapai termasuk dinobatkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi Malaysia.

Sementara itu, Konsert Sri Aman 2018 pula akan menghidangkan persembahan daripada pelajar sekolah tersebut.

“Bagi acara ini, kami ingin mengetengahkan bakat-bakat pelajar dengan menyajikan persembahan orkestra, nyanyian dan tarian.

“Pelajar-pelajar merupakan ahli Kelab Kebudayaan sekolah ini, mereka sangat berbakat besar dan telah mengikuti pertandingan di dalam serta luar negara dengan pencapaian yang membanggakan,” jelasnya.

Tiket

Bagi menyaksikan persembahan itu, penonton perlu membeli tiket berharga RM30 bagi murid dan RM150 perlu dibayar oleh guru serta orang awam.

Konsert Sri Aman 2018 akan berlangsung selama dua hari iaitu 9 hingga 10 Februari di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai konsert itu boleh menghubungi terus Badariah di talian 019-350 4080, Azlina (017-352 4522) atau 03-8941 9481.