Selepas lebih 900 tahun, pencarian susur galur baginda yang namanya turut dicatat sebagai Seri Paduka Derbar Raja semakin terbongkar dengan penemuan beberapa makam purba yang terletak di Kota Bukit Meriam di Kuala Muda, Kedah.

Menelusuri rentetan sejarah dengan merujuk dua kitab utama sejarah Kedah iaitu Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah, secara asasnya, Kota Bukit Meriam mula dibina pada zaman pemerintahan Raja Phra Ong Maha Putisat iaitu Raja Kedah ke-6 yang ketika itu bersemayam di Kota Aur iaitu daerah Seberang Perai sekarang.

Baginda mempunyai dua putera iaitu Raja Phra Ong Mahawangsa dan Raja Buluh Betong. Sebelum baginda mangkat, baginda menabalkan Raja Phra Ong Mahawangsa sebagai Raja Kedah ke-7 dan mengarahkan puteranya itu bersemayam di Kota Bukit Meriam.

Seperti yang tercatat dalam At-Tarikh Salasilah, Phra Ong Mahawangsa, Raja Kedah ke-9 (atau Raja Kedah ke-7 mengikut Hikayat Merong Mahawangsa) ini kemudian memeluk agama Islam dan bergelar Sultan Mudzafar Shah I dan mangkat di Kota Bukit Meriam pada 1179 Masihi.

Menurut Syamsyul Anuar Ismail, Ketua Penyelidik bagi Projek Kajian Kesan Peninggalan Sejarah Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas, Universiti Utara Malaysia (UUM), tinjauan pada lewat Jun lalu menemukan penyelidik dengan kewujudan Langgar atau Makam Diraja Kota Bukit Meriam seperti yang disebutkan dalam At-Tarikh Salasilah.

Daripada maklumat awal, terdapat sebuah makam tua dengan sepasang nisan purba di atas lot tanah milik seorang imam tua, Mohamad Nor di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda.

Atas pelbagai sebab, pasangan batu nisan dipindahkan ke tanah perkuburan Masjid Sintok Bugis, Kuala Muda, kira-kira dua kilometer dari tapak asal pada September 2017 dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah.

“Di tanah lot persendirian ini, kita menemui sebuah makam yang mempunyai batu nisan purba yang diperbuat daripada batu kawi yang masih dalam kajian.

“Setakat ini, belum pernah ditemui batu nisan jenis batu kawi ini di mana-mana negeri Kedah, mahupun di seluruh Semenanjung ini,” katanya kepada Bernama.

Saiz besar

Menjelaskan batu nisan purba itu, beliau berkata, ia mempunyai ukuran besar dan luar biasa iaitu 93.98 sentimeter di bahagian kepala, 35.56 sentimeter (lebar bahu), 27.94 sentimeter (pinggang) 33.02 sentimeter (tapak) dan 8.89 sentimeter tebal menunjukkan ianya milik kalangan raja-raja. Lebih menarik, belum pernah ditemui pasangan batu bersaiz besar sebegitu di tempat lain di dalam Mukim Bukit Meriam.

“Kedua-duanya hampir sama besar dengan berbentuk pepeh namun memiliki ukiran yang berlainan. Secara amnya, kedua nisan ini mempunyai kepala, badan, pinggang dan kaki dan diperbuat daripada batu lembut iaitu batu kawi yang berwarna kemerah-merahan,” katanya.

Tambah beliau, tidak wujud tulisan jawi atau bahasa lain manakala corak sulur kacang dengan sentuhan halus dan berseni menunjukkan ukiran tersebut dibuat oleh orang Melayu yang mahir bertukang.

“Ia langsung tak sama dengan batu nisan Acheh yang ditemui sebelum ini. Dalam masa yang sama, keadaan ini sangat sesuai dengan masanya iaitu sekitar tahun 1179 Masihi iaitu waktu kemangkatan Sultan Mudzafar Shah I,” katanya.

Bukan itu saja, berdekatan makam lama ini juga terdapat satu lagi makam purba yang disebut masyarakat setempat sebagai Keramat Tok Wahid.

“Sederet makam lama sudah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan di sisi lot tersebut.

“Menguatkan penemuan ini, lot tanah ini hanya berjarak 200 meter dari kaki Bukit Meriam di mana wujudnya bekas dinding purba dipercayai sebahagian daripada runtuhan Kota Bukit Meriam,” tambahnya.

Malah, menurut At-Tarikh Salasilah, terdapat tiga orang sultan yang pernah memerintah Kota Bukit Meriam iaitu Sultan Mudzafar Shah I, Sultan Muadzam Shah dan Sultan Muhammad Shah. Ketiga-tiga mereka dikatakan dimakamkan di Langgar Kota Meriam.

Memang diakui agak sukar menentukan nama atau tarikh makam ini memandangkan tiada apa apa yang tertulis pada nisan yang ditemui, namun kewujudan Keramat Tok Wahid di kawasan perkuburan asal boleh dijadikan penanda aras kepada penyelidikan yang lebih mendalam.

“Dalam bahasa Arab, perkataan wahid itu bererti pertama dan ini boleh dikaitkan kepada Sultan Mudzafar Shah I sebagai Sultan Kedah yang pertama.

Ini juga, menurut Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd. Yusuf, penasihat projek dan juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), boleh menolak penemuan makam di Kampung Pengkalan Bujang sebagai makam Sultan Mudzafar Shah I kerana faktor masa dan lokasi pusat pemerintahan baginda.

“Kajian menunjukkan bahawa tamadun masyarakat Melayu di kawasan Merbuk dan Sungai Batu itu jauh lebih awal iaitu seawal abad ke-5 Sebelum Masihi berbanding dengan masyarakat Bukit Meriam dan Sungai Emas.

“Bagaimanapun, perubahan geografi termasuk munculnya tanah baharu selepas surut paras air laut antara abad ke-4 hingga ke-14 menyatukan kawasan di sekitar Bukit Meriam termasuk Bukit Penjara dan Bukit Puteri sehingga mewujudkan Mukim Bukit Meriam dan Sungai Mas,”katanya.

Beliau menambah, pertembungan masa atau terdapat dua waktu berbeza pemerintahan sultan terawal Kedah di mana terdapatnya pengaruh Hindu pada ukiran nisan memungkinkan pelbagai teori lain wujud seiring penemuan artifak purba dari masa ke masa.

“Kajian awal menunjukkan batu nisan ini berumur lebih 'tua' daripada apa yang ditemui sebelum ini dan perlu rasanya penemuan dan bukti di Kampung Pangkalan Bujang dikaji semula,”katanya. – Bernama