Selain pasangan mempelai, ibu bapa individu yang paling banyak memikirkan perjalanan majlis bermula daripada bab tetamu jemputan, pilihan kad, makanan, pelamin hinggakan kelengkapan rumah turut diberi perhatian.

Bukan itu saja, mencari lokasi sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan juga agak sukar terutama jika tinggal di kawasan taman perumahan di bandar besar. Kadangkala ia boleh menjadi perkara yang menyesakkan dada apatah lagi jika ia dilakukan pada saat-saat akhir.

Dalam hal ini, ramai yang berangan-angan mengadakan majlis secara privasi di hotel-hotel terkemuka tanpa begitu memikirkan mengenai persiapan majlis. Namun, acap kali, keinginan itu terbantut dek kerana kos tinggi yang perlu dikeluarkan.

Justeru, Hotel Royale Chulan Damansara mengambil pendekatan berbeza dengan menawarkan pakej lengkap dengan perunding perkahwinan profesional untuk memenuhi impian raja sehari.

Sentuhan peribadi

Menurut Pengurus Besar Hotel Royale Chulan Damansara, Julian Blaydes, buat julung kali hotel tersebut menawarkan promosi Perkahwinan Melayu Eksklusif dengan kerjasama Perunding Perkahwinan Pak Abu. Ia bagi memberikan perkhidmatan terbaik mengikut kemampuan pasangan untuk meraikan hari bersejarah mereka.

“Segala susun atur, koordinasi perjalanan majlis, dekorasi dan konsep akan diuruskan Pak Abu. Kami rasa sentuhan peribadi sedemikian akan memberi pengalaman bermakna buat pelanggan-pelanggan kami kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Bengkel Adat Resam Pertunangan & Perkahwinan oleh Pak Abu di Hotel Royale Chulan, Damansara baru-baru ini.

Tambahnya, promosi itu lengkap dengan harga bajet merangkumi pelbagai keperluan lain bagi majlis perkahwinan dengan sentuhan adat Melayu secara eksklusif.

Antara perkhidmatan disediakan ialah menyediakan kad jemputan, hiasan bunga, pemuzik profesional, pakaian pengantin, penyediaan makanan dan minuman yang boleh disesuaikan dengan cita rasa dan kehendak pelanggan.

“Sebagai contoh, walaupun ia merupakan pakej perkahwinan Melayu, pelanggan bebas memilih menu yang ingin disajikan sama ada masakan Barat atau Cina bergantung pada pilihan masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu Pak Abu atau nama lengkapnya Abu Faizul Abu Bakar berkata, kebebasan bekerja mengikut prinsipnya dalam profesion tersebut menjadi salah satu faktor beliau menerima tawaran tersebut.

Adat

“Saya melihat urusan ini adalah tanggungjawab yang perlu dilunaskan dalam memastikan majlis berjalan seperti yang diatur mengikut adat dan cara yang sepatutnya.

“Jika berkaitan adat, saya akui agak tegas kerana ia bukan satu perkara yang boleh dibuat secara semberono tanpa ilmu pengetahuan,” tuturnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai trend kemunculan perancang perkahwinan segera yang sedikit sebanyak mencalar imej profesion tersebut.

“Golongan tersebut tidak akan dapat bertahan lama apatah lagi jika fikir hendak kaya cepat tetapi tiada ilmu. Lebih teruk jika sampai sanggup menipu orang,” luahnya.

Sementara itu, seorang peserta bengkel dari Mantin, Negeri Sembilan, Hanom Ibrahim berpendapat, peluang menyertai sesi perkongsian ilmu seumpama itu agak jarang diperoleh.

Dia yang telah berkecimpung dalam industri perancangan perkahwinan selama lebih dua dekad mengakui tuntutan zaman turut memaksa perunding perkahwinan mengikut arus semasa.

“Saya teringat jika dahulu pengapit pengantin merupakan orang-orang lama yang berpengalaman. Tujuannya supaya mereka dapat menegur dan memberi tunjuk ajar kepada pengantin. Tetapi budaya itu jarang dilihat pada masa kini.

“Bengkel sebegini juga boleh dijadikan platform ulang kaji bagi meneliti semula adat lama yang mungkin dilupakan seperti kedudukan barang hantaran, adat bertunang yang sepatutnya tidak memerlukan kehadiran bakal pengantin lelaki dan sebagainya,” ujarnya.