Zaman sebagai seorang pelajar universiti merupakan satu zaman untuk para belia melengkapkan diri mereka dari pelbagai sudut seperti jasmani, emosi, rohani dan intelek sebelum memasuki alam pekerjaan.

Dalam tempoh tiga hingga empat tahun di universiti gunakan peluang keemasan ini untuk menimba ilmu, menambah pengetahuan, meningkatkan ilmu komunikasi dan menimba pengalaman sebanyak yang boleh.

Ia juga merupakan masa yang sesuai untuk menunjukkan bakat-bakat terpendam yang mungkin tidak pernah anda ketengahkan selama ini. Inilah masa untuk menonjolkan kelebihan diri dan bersinar bak bintang.

Sebagai seorang pelajar atau lebih sesuai digelar sebagai mahasiswa atau mahasiswi, anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul. Di bahu anda terpikul harapan serta amanat ibu bapa dan keluarga. Di bahu anda juga terbeban tanggungjawab untuk menjaga nama baik universiti dan negara.

Duta

Mahasiswa juga bakal memimpin dan memartabatkan negara pada masa hadapan. Justeru, bagi mencapai tujuan ini mahasiswa harus kreatif, inovatif dan produktif untuk bersaing pada zaman kemajuan sains, teknologi dan globalisasi ini.

Anda mendukung tanggungjawab untuk menjunjung falsafah pendidikan negara dan berperanan sebagai duta perpaduan untuk memastikan rakyat negara ini kekal hidup dalam suasana harmoni.

Mahasiswa juga dinasihatkan untuk menggunakan zaman sebagai pelajar ini untuk mencari peluang yang lebih baik pada masa hadapan. Jika mempunyai kesempatan dan kemampuan, jangan berhenti sehingga ijazah pertama sahaja, teruskan langkah untuk menggenggam ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.

Selain itu anda harus memupuk sikap resmi padi dalam diri, semakin berisi, semakin tunduk. Lebih banyak ilmu di dada, harus banyak mempunyai sikap rendah diri, bersabar dan berhemah tinggi.

Jangan pandang rendah pada sesiapa. Seboleh-bolehnya cubalah bantu belia-belia lain. Segala yang dipelajari di menara ilmu harus diaplikasikan bagi membantu memajukan negara ini. Masa depan negara terletak di tangan setiap siswa dan siswinya.

Kepada belia yang gagal mendapat tempat di universiti, jangan putus asa. Kegagalan bukan noktah kepada kehidupan dan kerjaya anda. Anggap kegagalan hari ini sebagai satu pengajaran berharga untuk memajukan diri dalam bidang lain.

Anda masih boleh memohon lagi atau boleh mencuba nasib pada 378 lagi universiti swasta, universiti luar negara kampus Malaysia, kolej universiti dan kolej swasta di Malaysia yang menawarkan pelbagai kursus.

Kemahiran

Jumlah itu tidak termasuk kolej-kolej komuniti, Politeknik dan Institut Kemahiran Belia Malaysia (IKBN), milik kerajaan yang boleh anda pilih untuk merealisasikan impian anda. Bangun semula dan cari peluang lain.

Jika anda tidak mempunyai minat untuk belajar, itu pun bukan penghujung untuk hidup anda dan ini juga bukannya alasan untuk anda berhenti untuk memajukan diri. Pelajari kemahiran lain untuk meningkatkan kehidupan diri. Bukan semua orang yang berjaya dalam hidup ini mempunyai pendidikan yang tinggi atau segulung ijazah di tangan. Ada juga yang berjaya kerana usaha dan kemahiran yang ada dalam diri mereka.

Semangat untuk berjaya harus terus membara dalam diri setiap belia. Kalau bukan melalui pendidikan, kemahiran boleh dijadikan sebagai pilihan alternatif. Jangan berundur sebelum mencuba. Dalam diri setiap orang pasti mempunyai satu kelebihan yang boleh diketengahkan. Cuba cari kelebihan yang ada dalam diri anda. Selamat maju jaya!