Madu kelulut dikenali sebagai Super Food mempunyai pelbagai kelebihan jika diambil secara konsisten.

Menurut Pensyarah Kanan Perubatan, Institut Pergigian dan Perubatan Lanjutan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Eshaifol Azam Omar, pengambilan pelbagai jenis madu merupakan amalan pemakanan turun-temurun oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia.

“Madu kelulut mengandungi sebatian karbohidrat, protein dan pelbagai vitamin yang seimbang untuk membekalkan tenaga yang berterusan sepanjang hari. Selain terkenal sebagai makanan sunah, madu kelulut mempunyai sifat antioksida yang sangat tinggi dan boleh mencegah pelbagai jenis penyakit khususnya berkaitan dengan usus.

“Saya menggalakkan mereka yang berpuasa agar dapat mengamalkan pengambilan madu kelulut sebagai makanan tambahan harian sepanjang bulan Ramadan ini, sekali gus membantu meningkatkan stamina,” ujarnya.

Menurut Profesor Dr. Zainab Ngaini daripada Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), madu kelulut merupakan sumber tenaga harian semula jadi dengan kandungan 80 hingga 85 peratus karbohidrat dan nutrien (asid amino, protein, asid fenolik dan lain-lain) serta 15 hingga 20 peratus air.

“Kandungan karbohidrat dalam madu kelulut terdiri daripada gula penurun seperti fruktosa dan glukosa yang mudah untuk dicerna berbanding gula yang terdapat dalam sumber-sumber lain.

“Kandungan fruktosa dan glukosa dalam madu kelulut merupakan penyumbang utama yang menjadikan madu sebagai salah satu sumber tenaga dalam pemakanan.

“Cadangan pengambilan madu kelulut dalam pemakanan seharian dapat membantu dalam penyerapan kalsium dan magnesium yang boleh menyumbang kepada tulang dan gigi yang lebih kuat,” katanya.

Jelasnya, kajian pihaknya merekodkan aktiviti antioksida madu kelulut adalah empat hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding madu lain.

Lebih mujarab

Ketua Pegawai Eksekutif, Bayu Gagah Marketing, Hisham Yusof berkata, madu lebah kelulut dikatakan lebih mujarab berbanding dengan madu daripada lebah lain seperti lebah madu, tualang dan keran.

“Madu kelulut mempunyai khasiat kesihatan yang sangat tinggi kerana ia dapat membantu seseorang meningkatkan metabolisme tubuh.

“Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan madu kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk tubuh manusia.

“Banyak kajian melaporkan keunikan amalan pemakanan madu kelulut yang mempunyai sifat antidiabetes dan dapat menurunkan kadar glukosa darah,” jelasnya yang memberitahu, syarikatnya memasarkan produk madu kelulut di bawah jenama Bayu Kelulut yang dihasilkan di bawah Ladang & Usahawan Bimbingan MARDI.

Tambahnya, madu kelulut juga mengandungi quercetin dan protein yang boleh meningkatkan daya tahan tubuh serta meningkatkan fungsi sel darah merah yang berkaitan dengan sifat antikanser, antiradang, antibakteria dan penyembuhan luka.

Syarikat dari Kedah itu diasaskan sejak tahun 2015 dan telah berjaya menembusi pasaran di Jepun.

Maklumat lanjut berkaitan Bayu Kelulut boleh layari laman web bayukelulut.com atau hubungi talian 019-424 2652.

Si buta membilang bintang di langit