Anak kecil itu aktif dan gemar bermain terutama ketika ibu bapanya menghantarnya ke tadika sewaktu mereka bekerja.

Bagaimanapun, kehidupan Firasz Nur Ryhan berubah pada bulan Februari lalu apabila pergerakan tangannya kelihatan lemah malah dia tidak mampu menggenggam alat permainan.

Bimbang dengan keadaan itu, Mohd. Zabri dan Fatahiah membawa anak mereka ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut sebelum menjalani ujia pengimejan magnetik resonans (MRI) di Institut Kanser Negara (IKN).

“Firasz disahkan menghidap chordoma iaitu ketumbuhan pada bahagian tulang belakangnya selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu,” kata Fatahiah.

Menurut guru subjek Sains di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1), Putrajaya itu, menerusi pembedahan itu, ketumbuhan pada tulang belakang dan lehernya telah dibuang namun, kesannya Firasz tidak boleh berjalan akibat kakinya membengkok selepas rawatan radioterapi.

Ubat

Ujarnya, paling sedih, meskipun ketumbuhan itu sudah dibuang, salah satu tulang belakang anaknya itu remuk dan bengkok sehingga menyebabkan ia menekan tulang serta saraf.

“Mengikut penerangan doktor, kebiasaannya golongan orang dewasa terdedah dengan penyakit chordoma dan jarang ditemui pada kanak-kanak.

“Kini, doktor menyarankan Firasz mengambil dua jenis ubat untuk mengurangkan radang dan bengkak untuk mengelakkan ketumbuhan itu kembali aktif,” katanya.

Meskipun menderita akibat sakit itu, impian Firasz untuk berkunjung ke Lost World Of Tambun (LWOT) tercapai hasil komitmen pihak taman tema popular di Perak itu dan Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS) baru-baru ini.

Menurut Fatahiah, doktor mencadangkan dia dan suami melakukan perkara yang menggembirakannya agar dapat memberi semangat untuk melawan penyakit yang dihidapi.

Sepanjang seharian berada di LWOT, Firasz kelihatan gembira apabila pihak taman tema itu membawa Firasz bersama ibu bapa dan abangnya, Muhammad Fawwaz Ryan,7, ke zon Petting Zoo untuk melihat pelbagai jenis haiwan.

“Firasz amat gembira apabila diberi peluang melawat ke sini. Dia amat teruja untuk bermandi-manda di taman tema air di LWOT. Sebelum ini, hasratnya itu tidak dapat ditunaikan kerana menghidap jangkitan gegendang telinga atau otitis media sejak lahir namun, penyakit itu sudah semakin pulih.

“Jutaan terima kasih kepada pihak LWOT dan CWS yang sudi memberi kegembiraan kepada Firasz dan saya berharap sumbangan ini dapat memberi semangat baharu kepadanya untuk melawan penyakit yang dihidapinya,” katanya.

Proses penyembuhan

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa CWS, Gordon Hendricks berkata, pihaknya telah dihubungi oleh pihak hospital mengenai Firasz dan persatuan itu telah membuat persediaan rapi untuk menunaikan impiannya.

“Kita akan cuba menunaikan impian kanak-kanak berusia kurang daripada 18 tahun yang menderita penyakit jangka masa panjang dan pesakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

“Sejak ditubuhkan 11 tahun lalu, CWS telah menunaikan impian lebih 600 kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Beliau juga berharap lawatan Firasz ke LWOT dapat membantu proses penyembuhan penyakitnya sekali gus menggembirakan seluruh ahli keluarga.