Manakan tidak, kedua-dua pelukis grafiti dari Jogjakarta, Indonesia itu cukup terkenal dengan hasil lukisan jalanan di serata tempat.

Dua pelukis grafiti itu, Fahla Fadhillah Lotan, 27, dan rakannya Otong, 36, dibawakan ke Cyberjaya sempena prapelancaran Festival Cyberjaya Art Xpression (AxF 2018) anjuran MMU dengan kerjasama syarikat pemaju bandar itu, Setia Haruman Sdn. Bhd. (Setia Haruman).

Antara aktiviti prapelancaran termasuklah mewarnai lima papan tanda berbentuk C di sekitar Cyberjaya serta dinding tertentu di bangunan lot kedai, The Place dan bangunan pejabat, Launchpad.

AxF 2018 yang berlangsung pada 23 hingga 27 April lalu bertemakan I Am Me bertujuan menggalakkan usaha ekspresi diri atau berbangga menjadi diri sendiri.

Kosmo! berkesempatan menyaksikan kerja-kerja penghasilan mural yang dilakukan di The Place. Disediakan dua dinding kosong di sebuah lot kedai, pelukis-pelukis Indonesia dan para pelajar melukis mural bertemakan ekpresi diri dan keamanan.

Tong-tong cat mural berwarna-warni kelihatan tersusun di lantai dengan para pelajar dipecah kepada dua kumpulan menerima bimbingan daripada kedua-dua pelukis itu untuk pembahagian tugas, berkongsi idea dan teknik melukis.

Fahla Fadhillah atau mesra disapa Dila gembira kerana dijemput oleh MMU untuk menghasilkan mural bersama para pelajar universiti tersebut apatah lagi ini merupakan pengalaman pertamanya ke luar negara.

“Kami senang hati menerima pelawaan ini kerana sambil melancong dapat berkongsi kreativiti.

 

Ekspresi diri

“Di Jogjakarta, kami berdua bekerja tetap sebagai pelukis jalanan, tetapi pendapatan kami daripada pekerjaan sambilan, saya pereka visual manakala Otong pereka dalaman,” katanya tertawa.

Menurutnya, dia dan Otong dikenali sebagai pelukis grafiti ThedeoMIXBLOOD yang mula melukis mural bersama sejak 2010.

“Lukisan mural kami berstail pop dan hiphop. Tema I Am Me juga sesuai dengan kami berdua yang gemar berekspresi diri dengan meluahkan pandangan atau teguran melalui lukisan tetapi tidak keras,” katanya.

Pengasas AxF, Nur Atiqah Mohd. Jani yang merupakan kaunselor di MMU berkata, matlamat program itu adalah untuk menyedarkan masyarakat dan para pelajar tentang seni sebagai medium terapi.

“Pelukis Indonesia yang kita jemput juga memang pelukis ekspresi. Sebenarnya, ini merupakan festival bagi tahun kedua setelah tahun lalu bertemakan kesihatan mental memberi impak yang amat baik.

“Para pelajar sudah mempunyai kesedaran pentingnya meluahkan atau berkomunikasi tentang apa yang dirasakan,” katanya.

Menurutnya, penglibatan para pelajar adalah secara sukarela dan mereka terdiri daripada pelbagai jurusan.

Pelajar jurusan Sains Komputer, Aini Umairah Azfizan, 20, berkata, pengalaman bersama dua pelukis Indonesia itu membolehkan dia mempelajari tentang budaya negara itu.

“Saya lihat ada sedikit perbezaan namun kita cuba mencari titik persamaan. Pengalaman yang menarik apabila dapat tunjuk ajar daripada pelukis profesional.

“Seni ini semua orang boleh buat sebenarnya, cantik atau tidak, itulah ekspresi diri kita,” katanya.

Pelajar jurusan Teknologi Maklumat, Abdul Malik Ridhwan, 19, turut seronok kerana ini kali pertama dia melukis mural.

“Semasa sekolah pun saya tidak pernah melukis mural, selama ini saya hanya melakukannya di buku warna. Akhirnya dapat saya menconteng dinding secara sah,” katanya.