Populasi sang belang atau harimau di negara ini semakin berkurangan kepada sekitar 3,000 ekor pada 1950-an kepada 500 ekor sahaja pada 2003.

Pada masa ini, hanya terdapat 250 Harimau Malaya di dalam hutan di Semenanjung Malaysia dan tidak ada harimau dilaporkan di Sabah dan Sarawak.

Meskipun pemburuan haram adalah penyebab utama di sebalik kepupusan haiwan berkenaan dari hutan negara ini, terdapat faktor lain seperti pembukaan jalan yang merentas hutan serta kegiatan pembalakan.

Menurut Dr. Mark Rayan Dharmaraj, Ketua Program Pemuliharaan Harimau, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, kewujudan jalan balak memudahkan pemburu haram masuk terus ke hutan.

"Di mana sahaja ada kegiatan pembalakan, pasti juga ada jalan dan ini memudahkan lagi untuk pemburu masuk lebih jauh ke kawasan pedalaman hutan."

Sebagai haiwan pemangsa yang menduduki tempat tertinggi rantaian makanan, harimau memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi habitatnya, yang turut didiami spesies mangsa haiwan itu seperti rusa dan babi hutan.

Di Malaysia, harimau dibunuh atau diburu kerana kulitnya manakala beberapa anggota tertentu badannya digunakan untuk perubatan tradisional.

Menurut WWF-Malaysia, dianggarkan 103 ekor harimau menjadi mangsa pemburu di antara tahun 2000 hingga 2015, berdasarkan penemuan bahagian badan yang dirampas oleh pihak penguat kuasa.

Selain itu, dari 2010 hingga 2013, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja pemuliharaan haiwan liar turut menemui sebanyak 2,241 jerat dan 1,728 khemah haram pemburu.

Mark Rayan menegaskan, pengawasan hutan secara menyeluruh perlu dijalankan dengan lebih kerap bagi memastikan kegiatan pemburuan haram tidak terus berleluasa.



Hutan Belum-Temenggor di Perak dikatakan masih menjadi habitat harimau. - Gambar hiasan

Kerjasama

Pada masa yang sama, beliau memahami kesukaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk berbuat demikian kerana kekurangan tenaga penguat kuasa hutan atau renjer.

Beliau dan pasukannya, dengan kerjasama masyarakat Orang Asli setempat, turut membantu mengawasi kawasan Hutan Belum-Temenggor di utara Perak.

"WWF mempunyai pasukan sendiri yang menjalankan rondaan antipemburuan untuk membantu pihak berkuasa. Kami membersihkan kawasan hutan daripada jerat yang dipasang oleh pemburu," beliau memberitahu Bernama.

Beliau juga pernah menemui harimau yang terperangkap dalam jerat haram.

Kata beliau, maklumat yang terkumpul ketika rondaan hutan kemudiannya akan disampaikan kepada Perhilitan.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 40 hingga 50 ekor harimau di hutan Belum-Temenggor yang seluas lebih 3000 kilometer persegi itu.

Mark Rayan berkata, hutan Belum-Temenggor adalah habitat yang kondusif bagi harimau kerana ia kaya dengan sumber makanan seperti rusa selain hutan itu juga bersambung dengan hutan-hutan simpan kecil lain seperti Korbu dan Piah. Ini membolehkan harimau berpindah sekiranya perlu.

Kawasan lain di Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti sebagai habitat harimau ialah Taman Negara yang meliputi tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta Hutan Simpan Endau-Rompin di selatan tanah air.

Sementara itu, pihak berkuasa negeri Perak menunjukkan komitmen terhadap usaha pemuliharaan harimau pada Julai tahun ini apabila mendaftarkan Taman Negeri Royal Belum yang seluas 1,175 kilometer persegi itu dalam kawasan Hutan Belum-Temenggor untuk mendapat akreditasi Conservation Assured, Tiger Standards (CATS).

CATS adalah kaedah pemuliharaan antarabangsa untuk menentukan piawai minimum bagi pengurusan lebih berkesan spesies yang menjadi sasaran di samping menggalakkan penilaian piawaian di kawasan pemuliharaan serta yang dilindungi.

Piawai pemuliharaan spesies spesifik yang pertama adalah untuk harimau. WWF dan rakan kongsinya menyusun piawai ini dan diterima oleh Global Tiger Forum.

Taman Negeri Royal Belum adalah tapak pemuliharaan CATS harimau pertama di Malaysia juga di Asia Tenggara.

Pengurus Besar (pemangku) Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Asmah Mohd. Nawawi menyifatkan CATS sebagai pendekatan baharu dalam usaha pemuliharaan harimau.

"Ia memberi tumpuan menetapkan piawai bagi menilai usaha pengurusan dan perlaksanaan.

"CATS turut membantu pihak yang terlibat dalam pemuliharaan harimau untuk memahami sasaran serta kawasan yang memerlukan penambahbaikan atau lebih perhatian," katanya. - Bernama