Pengarah Urusan UFL, Datuk V. Radha Krishnan berkata, sokongan tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dalam membantu pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

“TRCRC merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan khususnya berkaitan tumbuhan hutan hujan tropika.

Kesihatan

“Menyedari hakikat bahawa tugas tersebut bukanlah satu perkara yang mudah, UFL berasa terpanggil untuk membantu mereka membekalkan produk LifeStraw yang merupakan peralatan penapisan dan penulenan air berteknologi tinggi dari Switzerland.

“Dengan adanya LifeStraw, setiap petugas TRCRC mampu mendapatkan bekalan air bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran termasuk bakteria dan parasit berbahaya walaupun menyedutnya daripada sumber air yang ada termasuk lopak dan parit.

“Ia sekali gus dapat menjamin tahap kesihatan mereka sewaktu berada di lapangan,” katanya pada majlis penyerahan tajaan tersebut yang berlangsung di Wisma UFL di Kawasan Industri Kepong, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Malek Noor.

Tajaan bernilai RM3,000 itu adalah bagi tempoh sembilan bulan pada tahun ini dan jumlah tersebut akan ditambah kepada RM5,000 bagi kegunaan sepanjang tahun pada 2020.

“Di UFL, kami sememangnya komited terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kerana kita mahu khazanah yang ada pada hari ini dapat diwarisi kepada generasi akan datang tanpa ada sedikit pun pengurangannya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan TRCRC, Dr. Dzaeman Dzulkifli berkata, pihaknya juga sentiasa komited dalam memelihara spesies tumbuhan yang sukar ditemui, terancam dan hampir pupus di negara ini.

Justeru katanya, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak sangat dialu-alukan dalam membantu TRCRC untuk memelihara dan memulihara khazanah negara hutan negara daripada diancam kepupusan.