Akuarium interaktif yang terletak bersebelahan Legoland Resort dan Legoland Hotel, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor itu akan dipenuhi dengan 13,000 hidupan laut daripada 120 spesies.

Menariknya, Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang akan mempunyai akuarium Sea Life lengkap dengan elemen Lego yang unik.

Pengurus Besar Legoland Malaysia, Kurt Stocks berkata, pihaknya komited untuk menyediakan pengalaman yang benar-benar unik kepada pengunjung.

“Dengan kewujudan taman tema luar, taman air dan Sea Life Malaysia yang bakal dibuka, Legoland Malaysia menjadi sebuah destinasi percutian sehenti keluarga yang paling unggul,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jualan dan Pemasaran, Legoland Malaysia, M. Thila dan Pengurus Pemasaran Legoland Malaysia, Andes Wong.

Sea Life merupakan akuarium yang terbesar di dunia, yang memberikan para pengunjung peluang untuk mengenali hidupan laut tersebut dalam persekitaran yang selamat, menyeronokkan dan bercirikan pendidikan.

“Dengan semua tarikan dan aktiviti baharu yang menyeronokkan ini, kami akan terus membangunkan DNA Lego dan menerapkan elemen permainan kreatif utama untuk memastikan bahawa seluruh anggota keluarga akan terlibat dan mempelajari sesuatu semasa kunjungan mereka ke sini.

“Kami berusaha keras untuk menyediakan pengalaman yang benar-benar unik di Legoland,” tambah Stocks.

Katanya, selain daripada akuarium tersebut, Legoland Malaysia akan melancarkan pas tahunan baharu.

Menerusi pas tersebut, pemegang MyKad boleh menikmati akses tanpa had ke Taman Tema Legoland dan Taman Air, selain akses percuma ke SEA LIFE.

“Pas tahunan terbaharu akan dapat memberi nilai yang menarik kepada tetamu kami, membolehkan mereka menikmati perkhidmatan sepanjang tahun yang seterusnya mendorong lawatan ulang-alik ke Johor dan menyokong wawasan Johor untuk menjadi destinasi pelancongan serantau bernilai tinggi menjelang tahun 2023,” ujarnya.

Menurut Stocks, akuarium itu adalah sebahagian daripada usaha rancak taman tema itu untuk terus menarik pelancong.

Awal tahun ini, syarikat itu melancarkan sebuah tayangan gambar empat dimensi yang baharu, Lego City 4D Movie berjudul Officer in Pursuit! dan Hari Acara Tayangan Gambar Lego.