Ketika mendepani masyarakat baharu yang berteraskan dunia digital, ramai individu yang kreatif kini berkarya melalui blog video atau vlogging dengan menampilkan nilai kreativiti yang tinggi.

Menerusi paparan video, seseorang vlogger (individu yang menghasilkan bahan dalam bentuk video melalui laman YouTube) seharusnya boleh berkarya melalui ekspresi diri yang semula jadi dan spontan.

Namun, terdapat satu hal yang menyebabkan seseorang vlogger itu perlu sentiasa ingat iaitu jangan terlampau emosi atau terbawa-bawa perasaan apabila video mahupun kandungan yang mereka paparkan tersebut dikritik umum.

Sebaliknya, kumpulan-kumpulan vlogger ini harus bersemangat untuk memperbaiki diri dan belajar menambah baik karya mereka.

Dalam dunia digital hari ini, proses utama seorang vlogger yang ingin berkarya ialah mereka perlu fokus kepada kepakaran yang sebenarnya.

Seorang vlogger yang ingin membangunkan karya yang kreatif seperti vlogger-vlogger kosmetik Malaysia yang terkenal, mereka perlu pakar, kreatif dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang ingin sampaikan menerusi intipati kandungan digital mereka.

Para vlogger tidak akan dapat menguasai sesuatu bidang dengan baik jika mereka hanya mampu membicarakan tentang perkara am sesuatu isu itu.

Cabaran

Contohnya, individu yang ingin menjadi vlogger berpengaruh dalam bidang pelancongan perlu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang itu dan selalu melancong ke tempat-tempat yang baharu, unik serta belum diterokai oleh pelancong lain.

Ini kerana jika vlogger-vlogger itu tidak mempunyai kemahiran yang mendalam dalam bidang yang cuba diterokai, maka karya digital mereka yang menerangkan tentang sesuatu aktiviti perniagaan itu tidak akan menarik serta gagal menjadi saluran penyampai maklumat yang berkesan.

Dalam mendepani perkembangan industri digital seperti ini, para remaja yang menjadi teras utama perniagaan berasaskan platform digital didedahkan dengan pertandingan seperti Cabaran Video 5 Minit.

Sebenarnya, fenomena vlogger ini berpunca daripada perkembangan ‘kandungan’ video digital yang disalurkan di internet yang berkembang pantas sejak tiga tahun lalu.

Melalui kaedah pengiklanan baharu ini, sesiapa sahaja dan dengan kos yang amat minimum iaitu kreativiti serta berbekalkan telefon pintar, mereka boleh menceburi bidang vlogging.

Perkembangan ini disokong dengan kewujudan platform media sosial seperti YouTube dan Instagram yang kini diibaratkan sebagai panggung besar bagi para pembuat video untuk tontonan masyarakat dunia.

Hasilnya, karya video digital individu kini bertebaran untuk tatapan netizen.

Perkembangan fenomena ini tidak hanya terjadi secara spesifik di Malaysia tetapi di serata dunia yang mempromosikan perniagaan atas talian.

Berdasarkan pengamatan, kandungan vlogging sangat banyak variasinya di Malaysia.

Terdapat berbagai genre atau gaya penyampaian seperti komedi, drama dan konsep program realiti.

Perkembangan teknik pengiklanan melalui video blogger atau vlogger ini memberikan satu impak yang besar kepada netizen yang bergantung kepada internet dalam membuat keputusan pembelian.

Kenyataan ini disokong apabila secara realitinya, kita melihat kelompok pengguna dalam kalangan generasi muda hari ini sebahagian besarnya adalah pengguna tegar internet dan aplikasi digital yang lain.

Masyarakat digital hari ini lebih mudah jatuh hati atau tertarik pada kandungan audio visual seperti video.

Impak

Mungkin ini adalah jawapan kepada persoalan kenapa lebih ramai orang yang rela menatapi skrin telefon pintar mereka pada waktu-waktu utama (prime time) daripada mendampingi bahan bacaan yang agak berat.

Perkembangan teknologi dan penambahbaikan infrastruktur internet di Malaysia seakan-akan memberikan impak yang besar ke atas perkembangan industri vlogging dan kini semakin mempengaruhi perubahan pola penglibatan pengguna internet dalam aktiviti perniagaan pada masa hadapan.

Mereka yang daripada asalnya memang malas dan tidak minat membaca akan berasa dimanjakan apabila semakin banyak kandungan audio visual berbentuk video, baik yang ditayangkan di YouTube, Vimeo ataupun platform digital lain.