Pemain industri ini gemar membincangkan perkara tersebut dan ramai juga yang membuat kenyataan ‘aku buat bisnes startup’.

Namun, pada hakikatnya mereka tidak begitu faham dengan maksud sebenar bisnes jenis ini.

Sebenarnya, golongan itu tidak bersalah jika mereka kurang memahami tentang perniagaan tersebut.

Mungkin sahaja mereka salah faham kerana terma perniagaan startup masih terlalu baharu di Amerika Syarikat dan tidak mustahil sebahagian besar usahawan di negara ini melakukan kesalahan yang sama.

Konsep

Apakah sebenarnya perniagaan startup? Apa pula yang membezakan ia dengan model perniagaan seperti yang kita biasa dengar?

Kita harus berpandangan bahawa perniagaan startup sebenarnya lebih daripada sekadar syarikat yang membenarkan pekerja-pekerja memakai baju-T dan seluar jean.

Kalau kita lihat dari sudut definisi secara umum, startup bermaksud perniagaan yang baru sahaja bermula.

Namun, jika kita amati dari sudut pelaburan dan model bisnes moden, konsep startup ini membawa maksud yang lebih mendalam.

Walaupun terdapat variasi definisi untuk startup, semua yang berada dalam ekosistem (ecosystem players) penjenamaan startup terpaksa bersetuju mengenai satu sifat utama yang membezakan antara sesebuah startup dan bisnes konvensional iaitu keupayaan untuk berkembang pada kadar yang pantas, seakan-akan berlaku ledakan.

Bisnes startup adalah perniagaan yang dijalankan oleh pasukan yang kecil dengan tujuan untuk membina dan menjana pendapatan dengan perniagaan serta penemuan baharu yang belum pernah wujud.

Sebuah syarikat startup dicipta untuk membesar dengan pantas. Perkembangan perniagaan ini tidak boleh dibatasi dengan halangan dari segi kewujudan fizikal mahupun di mana ia bermula kerana matlamat utamanya adalah mencapai tujuan yang dikehendaki.

Atas kriteria ini, perniagaan normal seperti membuka sebuah restoran baharu tidak boleh dikira sebagai startup.

Disebabkan oleh sifatnya yang memerlukan perkembangan yang pantas jugalah, dua perkara utama yang menunjangi perkembangan model perniagaan ini, internet dan pelaburan ekuiti menjadi sangat sinonim di sebalik kejayaan perniagaan startup.

Dalam ekonomi digital, sesebuah perniagaan yang berdaya saing boleh dimulakan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa dan mampu menjangkau ke sasaran pelanggan yang diingini.

Namun, asasnya perniagaan ini tidak boleh lari daripada penggunaan teknologi internet.

Begitu jugalah dalam pelaburan ekuiti. Dalam kewangan korporat secara tradisionalnya, saiz sesebuah entiti perniagaan dikira melalui nilai ekuiti dan prestasi syarikat itu.

Untuk melalui tumbesaran yang sangat pantas dan meningkatkan prestasi, sudah pasti lebih banyak dana berupa modal perlu disuntik ke dalam syarikat tersebut ketika operasinya baru bermula.

Satu perkataan yang selalu dikaitkan dengan perniagaan startup ialah model.

Para pemain industri selalunya akan membincangkan tentang model perniagaan moden atau melangkaui zaman, sedangkan ini adalah perbezaan paling ketara antara perniagaan tradisional dan startup.

Semoden mana sekalipun sesuatu model perniagaan baharu itu, ia tetap dilaksanakan dan model ini akan dijadikan rujukan kepada pengusaha lain untuk mengikutinya.

Inovasi baharu

Sedangkan perniagaan startup adalah sesuatu yang benar-benar di luar kotak dan berasal daripada inovasi baharu.

Model perniagaan juga merupakan susunan komponen luaran dan dalaman perniagaan iaitu kita yang menghasilkan nilai baharu dalam industri.

Sedangkan perniagaan startup adalah tentang inovasi dalam komposisi komponen bisnes bagi sesuatu industri.

Ini juga yang membezakan seorang usahawan dan ahli perniagaan. Seorang usahawan selalunya akan memikirkan satu perniagaan yang bersifat startup dan ahli perniagaan akan lebih tertumpu kepada perkembangan model perniagaan.

Jadi, sebagai generasi muda yang hidup dalam era masyarakat ekonomi digital, kita seharusnya cakna tentang perkembangan perniagaan startup.

Ini kerana golongan tersebut merupakan generasi yang suka kepada kreativiti yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada perkara baharu (inovasi) dalam industri tersebut.

Jadi, jangan kita terkeliru apabila mengatakan kita terlibat dalam perniagaan startup padahal apa yang kita lakukan sebenarnya adalah mengikut model perniagaan yang orang lain telah ceburi atau sedang buat dengan tidak melibatkan apa-apa inovasi baharu. - Afizan Amer