Kapal itu berlabuh di Jeti Boustead Star Cruise, Pulau Indah di Pelabuhan Klang, Selangor pada 9 hingga 13 April lalu.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kehadiran kapal berusia 40 tahun itu merupakan satu penghormatan kepada agensi berkenaan kerana ia dapat memberi peluang kepada APMM dalam memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan badan pengawal pantai antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti dijadualkan sepanjang kehadiran ICG Vijit di Pelabuhan Klang. Antaranya sesi perkongsian kepakaran melibatkan kawalan pencemaran laut terutamanya insiden tumpahan minyak.

“Selain itu, kapal ICG Vijit turut dilengkapi dengan teknologi yang mampu mengesan dan mengawal pencemaran di laut,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Kapal ICG Vijit singgah ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan bersama APMM dalam rangka lawatan muhibahnya ke negara-negara sahabat. Terdahulu, kapal itu telah berlabuh di Vietnam, Kemboja dan Indonesia sebelum pulang ke Pelabuhan Porbandar, India.

Jaringan

Ujarnya, pihak ICG juga ingin menimbal balas kepakaran mencari dan menyelamat (SAR) di laut daripada APMM.

“APMM telah banyak melakukan koordinasi SAR di laut melibatkan pelbagai pihak.

“Sebagai contoh, kejayaan APMM melakukan koordinasi SAR semasa kejadian pelanggaran kapal perang USS John S. McCain di perairan Malaysia pada Ogos 2017,” ujarnya.

Tambah beliau, latihan formasi dan komunikasi antara aset APMM dan ICG juga akan diadakan menerusi Passing Exercise (Passex) bagi memantapkan jaringan kerjasama dalam sesebuah operasi pada masa akan datang.

Aktiviti lain ialah Hari Terbuka Kapal yang mana orang ramai boleh hadir untuk melihat lebih dekat aset pengawal pantai negara Bollywood berkenaan secara percuma di jeti Boustead Star Cruise pada 12 April lalu.

Jelasnya lagi, sifat mesra dan terbuka yang ditunjukkan Indian Coast Guard ini memberi peluang kepada orang awam khususnya para pelajar untuk mengenali lebih dekat fungsi, keupayaan serta kepentingan sesebuah agensi pengawal pantai dalam menjamin keselamatan dan keamanan perairan sesebuah negara.