Ia adalah landasan yang diterajui oleh Nippon Paint dan disokong oleh IJM Land Berhad bagi memupuk serta mengasah bakat pelajar yang berpotensi dalam seni bina dan reka bentuk dalaman.

Tahun ini, persaingan dilihat sengit apabila pemenang daripada kategori seni bina dan reka bentuk dalaman masing-masing akan menerima tempat pada program Design Discovery yang ditaja sepenuhnya selama enam minggu di Harvard Graduate School of Design di Amerika Syarikat.

Loo Yi dari Universiti Malaya dan Zachary Khaw Lit Siang dari Universiti Taylor’s diumumkan sebagai pemenang tahun ini sekali gus mengalahkan 1,260 penyertaan lain.

“Ia merupakan satu penghormatan apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas bagi kategori Seni Bina tahun ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada para juri kerana mempercayai hasil kerja saya.

Inspirasi

“Apabila saya mendapat inspirasi untuk melakukan idea ini, saya mahu ia bukan jadi sekadar sebuah galeri untuk memaparkan koleksi sisa-sisa fizikal Kuala Sepetang, Perak tetapi juga merupakan tapak yang menggabungkan amalan kebudayaan bukan fizikal dan warisan hutan semula jadi,” kata Loo.

Loo dianugerahkan hadiah utama untuk rekaannya, Mangrove Charcoal Living Museum yang mempamerkan konsep muzium bukan konvensional, menggabungkan mentaliti pemikiran masa hadapan dalam integrasi struktur antara sifat fizikal serta alam sekitar.

Sementara itu, pemenang kategori Reka Bentuk Dalaman, Zachary mendapat inspirasi daripada industri reka bentuk fesyen tempatan dan mencetuskan idea-ideanya dalam The Weave.

Ia merupakan sebuah inkubator fesyen untuk pereka tempatan bagi mengitar semula tekstil lama menjadi pakaian baharu sebagai salah satu asas konsepnya.

“Projek ini sungguh peribadi buat saya kerana saya sangat meminati kesemua cabang reka bentuk. Memahami kesukaran pereka-pereka fesyen baharu untuk bertapak, saya mencipta The Weave.

“Saya ingin memberikan sesuatu kepada semua pelajar reka bentuk fesyen muda satu kemudahan dalam industri dan membantu mereka berjaya,” ujarnya.

Sebagai penerima Anugerah Emas di AYDA Malaysia 2018, Loo dan Zachary masing-masing memenangi wang tunai RM5,000 dan akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak Pereka Asia Muda di Singapura pada Mac 2019.

Positif

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Gladys Goh berkata, matlamat tema AYDA tahun ini iaitu Forward: Challenging Design Boundaries adalah melangkaui batasan reka bentuk konvensional, sambil mengimbangi bagaimana tindakan merancang sesuatu mampu membawa kesan positif terhadap isu alam sekitar.

“Kami di Nippon Paint percaya bahawa belia hari ini mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada persekitaran bahkan kepada industri reka bentuk secara keseluruhan.

“Ia sungguh menggembirakan apabila dapat melihat kewujudan AYDA, pereka muda yang berbakat diberi platform sewajarnya bagi membolehkan mereka mempamerkan bakat yang dimiliki,” terangnya.