Sebanyak 22 festival diadakan di bawah Pemerintah Kabupaten (Pemkab) Lampung Timur sepanjang tahun ini sekali gus berjaya menarik seramai 506,158 pelancong ke daerah tersebut.

Antaranya ialah Festival Lamtim BMX, Festival Kicau Burung, Tasyakuran Laut, Pekan Seni Lampung Timur, Festival Masakan Ramadan, Festival Layang-Layang dan Festival Petik Lada.

Selain itu, Festival Kuda Lumping, Festival Bersih Danau Beringin, Festival Dayung Way Bungur, Festival Seribu Pohon, Festival Sepuluh Ribu Rebana, Festival Napak Tilas Purbakala dan Festival Pelancongan Way Kambas turut dianjurkan.

Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Kabupaten Lampung Timur memberitahu, kedatangan pelancong ke daerah itu sepanjang penganjuran festival-festival tersebut berjaya menjana ekonomi masyarakat setempat dengan hasil sebanyak Rp5 juta (RM1,500).

Seramai 3,493 orang terlibat sepanjang festival itu yang terdiri daripada 2,284 peniaga dan 1,209 daripada sektor perkhidmatan.

Bupati Lampung Timur, Chusnunia Chalim berkata, beliau yakin destinasi pelancongan di daerah tersebut bakal menjadi tumpuan bukan hanya pengunjung tempatan dan asing pada tahun hadapan.

Selamat

Selepas berjaya menganjurkan pelbagai festival sepanjang tahun ini, daerah tersebut akan menjadi destinasi pelancongan terkenal pada tahun hadapan.

Chusnunia menjelaskan, pengumuman Lapangan Terbang Radin Inten II Lampung sebagai lapangan terbang antarabangsa juga akan menjadi penyumbang kepada hasrat tersebut.

Kewujudan lapangan terbang itu turut membuka peluang kepada pelancong domestik mahupun asing untuk mengunjungi lokasi pelancongan di Lampung termasuk di Kabupaten Lampung Timur.

Pembinaan infrastruktur seperti jalan dan jambatan serta kemudahan awam lain turut menjadi penyumbang kepada pertambahan pelancong di kawasan berkenaan.

Peluang tersebut perlu dimanfaatkan oleh masyarakat dan Pemkab Lampung Timur untuk menarik kedatangan pelancong ke daerah tersebut.

Pada sidang akhbar baru-baru ini, Chusnunia optimis Lampung Timur itu juga selamat untuk dikunjungi pelancong.

Tegasnya, daerah itu tidak menakutkan seperti difikirkan oleh kebanyakan orang malah ia merupakan kawasan yang aman dan kondusif untuk dikunjungi.

Selama ini, Kabupaten Lampung Timur terkenal dengan persepsi sebagai kawasan penjenayah sehingga dianggap menakutkan untuk dikunjungi pelancong.

Persepsi

Bagaimanapun, pihaknya berjaya mengubah persepsi negatif itu dengan menerapkan ciri-ciri keamanan dan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat termasuk sektor produktiviti dan pelancongan.

Semua festival yang dilaksanakan sepanjang tahun ini juga bertujuan mengubah persepsi negatif orang ramai dan menjadikan ia sebagai sebuah daerah yang aman, indah dan seronok untuk dikunjungi.

Sehingga November lalu, Pendapatan Negara Bukan Pajak (PNBP) Balai Taman Nasional Way Kambas (TNWK) di Lampung Timur mencapai sasaran dari segi kedatangan pelancong dan jumlah pendapatan.

Ketua Balai TNWK, Subakir berkata, hasil itu diperoleh daripada kedatangan pelancong yang meningkat selepas Festival Way Kambas ke-16 yang dianjurkan pada tahun lalu.

Sasaran PNBP Balai TNWK yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan adalah Rp250 juta (RM75,000) setahun, namun TNWK mencatatkan PNBP mencecah Rp700 juta (RM210,000) sehingga November lalu.

Pada sambutan tahun baru 2017 selepas Festival Way Kambas 2016, PNBP mencatatkan sebanyak Rp100 juta (RM30,000) sehari.

Pemkab Lampung Timur kembali menganjurkan Festival Pelancongan Way Kambas 2017 selama tiga hari pada November lalu dengan mengaturkan 20 aktiviti untuk memeriahkannya.

Pelaksanaan festival di kawasan konservasi TNWK itu turut berjaya menarik kedatangan pelancong di Lampung Timur.

Antara acara yang dianjurkan pada hari pertama ialah perarakan budaya yang menampilkan pakaian adat Lampung dan daerah lain, perarakan 17 ekor gajak jinak Way Kambas, pengembara jejak Way Kambas, fotografi hutan, peragaan busana dan pelancongan kulinari.

Pada hari kedua, terdapat acara maraton 10 kilometer, pertandingan mencipta cenderamata, lakaran mural, persembahan muzik dan Way Kambas Adventure Trail.

Seterusnya pada hari penutupan festival itu, antara aktiviti dianjurkan ialah persembahan tarian kolonial Bedana melibatkan 1,200 pelajar Lampung Timur dengan disaksikan ribuan pengunjung.

Di samping itu, terdapat juga persembahan muzik, Way Kambas Idol, Festival Buah Nusantara dan Perarakan Motosikal Antik.

Sasaran Pemkab Lampung Timur menjadikan daerah tersebut sebagai lokasi pelancongan terbaik bagi pelancong diharapkan dapat dicapai dalam waktu terdekat.

Sebagai sokongan untuk meningkatkan sektor pelancongan tempatan termasuk memastikan aspek keamanan dan penyediaan infrastruktur mencukupi di daerah berkenaan, masyarakat setempat diminta memberi layanan yang baik kepada pengunjung.

Walaupun perlahan, namun Kabupaten Lampung Timur diyakini mampu untuk mengubah persepsi daerah menakutkan kepada sebuah lokasi yang diminati pelancong bagi menikmati kekayaan alam, seni dan budaya serta kulinari.