Masing-masing yang kelihatan mengenakan jaket tebal ketika berada di dalam pesawat disambut dengan tarian tradisional masyarakat tempatan, Cenderawasih.

Ia merupakan tarian sambutan khas di Pulau Dewata sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki mereka di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Mereka yang baru pertama kali berkunjung ke Bali sudah pasti tidak akan mensia-siakan pengalaman itu dengan merakam gambar setiap gerak tari para penari.

Kakitangan syarikat penerbangan Garuda Indonesia sememangnya bersiap sedia menyambut ketibaan pelancong dari China yang datang untuk merasai kehangatan bercuti di Pulau Dewata, sekali gus melupakan seketika cuaca sejuk di negara mereka.

Kesemua pelancong itu tiba ke Pulau Dewata menerusi penerbangan sulung Garuda Indonesia bagi laluan Bali ke Xian yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari bandar Beijing.

Pada masa sama, Garuda Indonesia turut membuka laluan baharu dari Bali menuju ke Zhengzhou yang merupakan ibu negeri bagi wilayah Henan.

Sasaran

Penerbangan dari Bali ke Xian dilakukan sebanyak dua kali seminggu menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang mampu memuatkan seramai 360 penumpang.

Bagi laluan Bali ke Zhengzhou, Garuda Indonesia melakukan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu serta menggunakan pesawat yang sama iaitu Airbus 330-300.

Pesawat Garuda Indonesia akan berlepas pada pukul 11.35 pagi dari Bali dan tiba di Zhengzhou pada pukul 6.15 petang waktu tempatan.

Pengarah Bahagian Kargo Garuda Indonesia, Sigit Muhartono berkata, pihaknya berasa yakin dengan keupayaan laluan baharu antara Xian dan Bali berikutan penerbangan sulung itu dipenuhi hampir 95 peratus penumpang.

“Kami yakin dapat memenuhi permintaan penumpang dari China ke Indonesia dan sebaliknya. Malah, pembukaan laluan baharu ini disifatkan sebagai loncatan terbaik buat Garuda Indonesia mengembangkan operasi.

“Garuda Indonesia turut melakukan penerbangan ke China menerusi hub Jakarta dan Bali ke beberapa laluan seperti Guangzhou, Beijing, Shanghai serta Chengdu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Sigit menambah, permintaan tinggi daripada rakyat China yang mahu bercuti ke Pulau Dewata bakal memberi pulangan keuntungan kepada syarikat selepas laluan itu dibuka sepenuhnya.

“Selain memberi keuntungan kepada syarikat, pembukaan laluan ini juga dijangka melonjakkan lagi sektor pelancongan khususnya di Bali dan Indonesia.

“Kami yakin, pelancong dari China akan berpusu-pusu ke sini seterusnya sasaran untuk mencapai kemasukan pelancong asing sebanyak 17 juta orang dapat direalisasikan,” jelasnya.

“Berdasarkan statistik, seramai 120 juta pelancong China dicatatkan melancong ke seluruh dunia pada setiap tahun.

“Jadi, kami perlu ambil peluang ini dan terus pastikan pelancong China dapat meluangkan lebih masa untuk menikmati pelbagai produk pelancongan yang terdapat di bumi Indonesia,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Pelancongan, Judi Rifayantoro berkata, Bali merupakan produk utama pelancongan Indonesia dan pelancong masih gemar berkunjung ke pulau itu meskipun kerajaan telah melancarkan kempen 10 Destinasi Bali Baharu.

Kuasa ekonomi

Menurutnya, pembukaan laluan baharu dari Xian dan Zhengzhou merupakan langkah tepat yang diambil Garuda Indonesia berikutan China mempunyai kuasa ekonomi besar.

“Ketika ini, jumlah kedatangan pelancong China ke Indonesia ialah sebanyak 2.4 juta orang dan diharapkan bilangan tersebut akan terus bertambah berikutan jumlah pelancong China ialah sebanyak 120 juta,” katanya.

Ujarnya lagi, jumlah kedatangan pelancong China ke Indonesia masih dikategorikan sebagai rendah ekoran Thailand mencatatkan kedatangan pelancong China sebanyak lapan juta setahun.

“Jadi, kami mengharapkan agar syarikat penerbangan lain dapat mengikut jejak Garuda Indonesia dengan membuka lebih banyak laluan bagi perjalanan ke China.

“Buat masa ini, penerbangan ke China masih kurang walaupun permintaan rakyat negara itu untuk ke Indonesia dilihat semakin meningkat,” kata Judi.

Bagaimanapun, Judi memberitahu, meskipun laluan penerbangan ke China ditambah, ia dilihat masih sukar untuk mencapai sasaran kedatangan pelancong sebanyak 17 juta orang.

Justeru, pihaknya menyarankan agar syarikat penerbangan seperti Garuda Indonesia, Sriwijaya Air, AirAsia, Lion Air dan Citilink untuk membuka lebih banyak laluan baharu.

“India merupakan antara negara yang perlu diberi fokus untuk membuka laluan baharu berikutan peningkatan kedatangan pelancong negara itu sebanyak 36 peratus pada tahun lalu.

“Buat masa ini, sebahagian besar pelancong India yang berkunjung ke Indonesia akan transit di Malaysia dan Bangkok sebelum menyambung perjalanan mereka ke Bali,” jelasnya.

Menyedari hakikat itu, Garuda Indonesia merancang untuk membuka laluan baharu antara Bali dan Mumbai pada tahun ini selain memperluaskan laluan ke China dengan melibatkan laluan Kumning serta Shenyang.