Selain beribadat kepada Allah SWT, program tersebut bertujuan membantu umat Islam yang kurang bernasib baik di Chad, Afrika.

Pengarah Urusan AQ4U, Halim Othman berkata, pihaknya menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 keluarga.

Jelasnya, menerusi program tersebut, golongan miskin dan mangsa pelarian akan dapat sama-sama menikmati daging lembu atau kambing.

“Matlamat AQ4U adalah untuk melahirkan perasaan ukhwah dan kemanusiaan merentasi negara, bangsa serta warna kulit.

“Pada masa yang sama, kami ingin memudahkan umat lslam di Malaysia melaksanakan ibadah korban dengan harga berpatutan,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

AQ4U merupakan sebuah perkhidmatan yang diuruskan olah AQ4U Sdn. Bhd.

Mula bertapak sejak tahun 2006, syarikat berkenaan melaksanakan ibadah korban atas nama Badan-Badan Kebajikan Islam.

Halim menambah, semua peserta AQ4U yang terlibat akan diberi gambar, video program dan sijil dalam tempoh 30 hari selepas Hari Raya Aidiladha.

Jelas beliau, tarikh tutup penyertaan AQ4U itu pada 10 Ogos depan tetapi pihaknya sedia memberi pertimbangan selepas tarikh tersebut.

“Ibadah korban harus dipindahkan ke negara yang terdapat ramai orang lebih memerlukan.

“Maka boleh disimpulkan, adalah harus dan sah hukumnya dilaksanakan secara wakil ke luar negara dan tiada khilaf di tempat sendiri,” katanya.

Jantung mati

Mengulas mengenai pemilihan Chad, Halim memaklumkan, Chad merupakan empat negara termiskin di dunia dengan majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, Chad juga mempunyai bekalan haiwan ternakan yang banyak selain harganya berpatutan.

“Chad dikenali sebagai jantung mati Afrika. Ini kerana, ia merupakan sebuah negara yang terletak di tengah-tengah benua Afrika, dikelilingi kawasan gurun yang tandus.

“Chad merupakan salah satu negara termiskin di dunia kerana majoriti penduduknya masih bergantung pada sektor pertanian dan penternakan tradisional,” terangnya.

Pada tahun ini, harga satu bahagian lembu adalah RM350, manakala seekor kambing berharga RM570.

Bagi yang berminat menyertai program AQ4U, mereka boleh menghubungi talian 019-278 6246 atau 019-358 6246 serta layari Facebook, Aqiqah Qurban for Ummah.