Fainanos telah beroperasi hampir tiga tahun itu pernah tular di laman sosial dan mendapat liputan rancangan TV3, Jalan Jalan Cari Makan pada hujung tahun 2016.

Pengasasnya, Muhammad Farid berkata, menu istimewa restorannya ialah laksa Johor dan ikan bakar petai.

Katanya, istimewa laksa Johor Fainanos terletak pada kelazatan dan keaslian kuahnya.

“Saya mengekalkan resipi turun-temurun keluarga.
“Saya juga menggunakan ikan tenggiri segar yang mempunyai isi enak dan berlemak sebagai bahan mentah utama untuk menyediakan kuah laksa Johor ini,” ujarnya.

Muhammad Farid menambah, kuah laksa Johor yang dihasilkannya pekat dan terasa isi ikan apabila dihirup.

Jelasnya lagi, walaupun proses penyediaan laksa Johor tersebut rumit dan memakan masa yang agak lama, Fainanos tetap mengekalkan cara penyediaan tradisional supaya dapat memuaskan hati semua pelanggan.

“Bahan lain yang tidak kurang pentingnya ialah timun, lobak masin, daun kesum serta sambal belacan yang membuatkan hasil gabungan kesemua bahan itu menjadikan rasa laksa Johor begitu enak.

“Pada berharga RM6.50, pelanggan boleh menikmati hidangan laksa Johor yang cukup sempurna ini dan biasanya orang ramai datang pada waktu petang, “ katanya. 


Menu makan malam

Untuk memenuhi permintaan pelanggan, 
sebanyak 20 kilogram ikan diperlukan untuk menyediakan kuah laksa Johor tersebut. 
Pada waktu malam, Muhammad Farid memberitahu, ramai pelanggan Fainanos datang untuk menikmati ikan bakar petai sebagai menu makan malam bersama keluarga.

“Uniknya, ikan bakar ini terletak pada sambalnya yang dihasilkan menggunakan resipi tersendiri. Aromanya sahaja sudah cukup untuk memukau deria rasa pelanggan.

“Pelbagai jenis dan saiz ikan yang boleh dipilih mengikut cita rasa seperti ikan siakap, pari, kerapu, jenahak, merah dan harganya mengikut timbangan,” ujarnya.

Menurut Muhammad Farid, Fainanos beroperasi setiap hari iaitu pada pukul 3 petang hingga 11.30 malam.

Dalam pada itu, antara menu sajian lain yang ditawarkan adalah mi kari udang, mi kari kerang, soto ayam berempah dan lontong goreng.