Sempena majlis tersebut, Kumon Malaysia menganjurkan Forum Pelajar Cemerlang (ASF) bagi mengiktiraf pelajar yang telah berjaya melangkau gred persekolahan mereka serta penuntut yang telah melengkapkan program matematik atau bahasa Inggeris masing-masing sehingga ke tahap O dan L.

Kumon Malaysia merupakan program pendidikan Matematik dan Bahasa Inggeris yang bertujuan mencungkil potensi pelajar berusia antara empat hingga 17 tahun bagi mencapai potensi secara menyeluruh melalui pembelajaran kendiri. Ia diasaskan pada tahun 1958 di Jepun.

Penceramah jemputan yang juga angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor diundang bagi menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada hadiri menerusi kisah hidupnya dalam mengejar impian dan cita-cita.

Beliau turut berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi untuk memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik dan seterusnya berjaya menjadi seorang pakar bedah ortopedik serta akhirnya dipilih mewakili Malaysia sebagai angkasawan pertama negara.

“Antara tip kejayaan ialah mempunyai impian yang besar dan sentiasa menyebutnya kuat-kuat setiap hari selain perlu berdisiplin dalam melakukan rutin yang telah diatur. Selain itu, penguasaan bahasa Inggeris juga amat penting.

“Jadilah orang berani dan belajar berdepan dengan ketakutan. Orang yang ingin berjaya juga tidak boleh malu untuk menonjol,” ujarnya yang turut mendaftarkan dua anaknya, Sophea Isabella, 8, dan Sophea Natasha, 6, menyertai program Kumon sejak mereka berusia empat tahun.

Penilaian

Sementara itu, Pengurus Besar Kumon Malaysia, Yosuke Sugawa menjelaskan, ASF merupakan platform yang mengiktiraf pelajar yang telah berjaya mencapai peringkat sekurang-kurangnya lima tahun melebihi gred persekolahan sebenar mereka.

Dalam hal ini, rancangan pembelajaran disesuaikan mengikut keupayaan dan kemajuan yang dicapai oleh pelajar. Selepas berjaya menamatkan sesuatu tahap, mereka perlu mengambil ujian pencapaian untuk menilai tahap kemampuan mereka sebelum mara ke tahap yang berikutnya.

Menerusi kaedah ini, pelajar yang berusia seawal empat tahun dapat maju dalam Matematik dan Bahasa Inggeris ke tahap paling optimum dan tidak terhad pada tahap persekolahan mereka.

Menerapkan kaedah pembelajaran kendiri, Kumon melihat ia merupakan cara berkesan membantu melengkapkan pelajar dengan kemahiran seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritikal seterusnya menjadikan mereka berdisiplin, yakin, berdikari dan bersikap positif serta tabah.

Ibu bapa dan pendidik perlu beralih daripada memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik semata-mata sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran hidup kritikal untuk menjadikan anak-anak cepat bangkit dan tidak mudah putus asa.

“Kaedah Kumon yang bertahan selama 60 tahun dan telah membantu kanak-kanak dari lebih 50 buah negara bukan sahaja membina asas ke arah mencapai kecemerlangan akademik, malah turut membina sikap positif yang diperlukan untuk persediaan mereka menghadapi masa depan,” kata Sugawa.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, Kumon kini memiliki lebih 200 buah pusat di seluruh negara dengan lebih 33,000 orang pelajar.

Selaras dengan misi Kumon untuk mengenal pasti potensi kanak-kanak, Kumon Malaysia menyasarkan untuk membuka 20 pusat baharu dan menjadikan jumlah pusat sebanyak 220 buah menjelang tahun 2020.