Lebih menarik, pemilik cafe tersebut, Nur Humairah Sulaiman, 26, menyediakan minimum 100 biji bagi setiap jenis kuih untuk memenuhi selera dan cita rasa pelanggannya.

Antara kuih yang dihidangkan termasuklah kuih ku, puteri ayu, nona manis, popia sambal, pulut panggang, bakar pandan, cara berlauk, abuk-abuk, pilit inti, chang, keria, lapis, agar-agar, onde-onde dan kole kacang.

“Bagaimanapun, di Kafe Kueh Melaka, kuih signatur kami adalah cara berlauk, cara keju, popia sira dan kuih serabai.

“Bagi kuih cara berlauk dan menu roti jala, kami sediakan di kedai untuk memastikan pelanggan dapat menikmatinya ketika masih panas,” katanya ketika di temui Kosmo! di kafe berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Humairah memberitahu, dia mula mengadun tepung dan bahan-bahan seawal pukul 3 pagi untuk memastikan setiap biji kuih buatan tangan itu dapat disiapkan dengan teliti.

“Saya sentiasa mengutamakan rupa dan rasa kuih yang dibuat sebelum dijual demi memastikan ia adalah seperti diharapkan pelanggan.

“Jika pelanggan suka dan gembira dengan setiap biji kuih yang dinikmati mereka, itu adalah penghargaan yang paling bermakna kepada saya dan perniagaan ini,” katanya.

Sambutan

Ujarnya, walaupun usia kafe itu baru mencecah setengah tahun, sambutan yang diterima daripada peminat kuih-muih tradisional sangat memberangsangkan.

“Kami pernah membuat lebih 400 biji kuih cara dalam sehari. Pelanggan kami ramai pada waktu sarapan, makan tengah hari dan minum petang.

“Kuih-muih ini dijual pada harga bermula 50 sen sehingga RM1 manakala makanan lain antara RM3 sehingga RM6,” katanya.

Ujarnya, mereka juga mengambil tempahan, namun pelanggan perlu membuat pesanan tiga hari lebih awal, untuk membolehkannya mencari bahan terutamanya bagi kuih yang menggunakan daun seperti pulut panggang, koci, pulut inti dan abuk-abuk.

Dalam pada itu, selain pelbagai seleksi kuih, kafe itu juga menawarkan menu istimewa mi rebus otai, laksa Rara, bakso tenis, nasi lemak ibu dan soto.

Katanya, mi rebus resipi asli keluarganya itu juga menjadi sajian kegemaran ramai kerana kepekatan kuah daripada bahan keledek dan aroma geragau yang digunakan.