Tidak terhenti di situ, tangan ibu kepada seorang cahaya mata itu terus bergerak lincah memindahkan aneka kuih talam seperti seri muka, bingka ubi dan kuih lapis dari loyang ke dalam kotak.

Sementara itu, di atas dapur, kelihatan dua kuali besar berisi acar buah sudah siap dimasak dan hanya menunggu untuk diisi ke dalam balang-balang kecil yang telah siap disusun di atas meja.

“Saya sebenarnya berniaga kuih talam pada hari Sabtu dan Ahad masing-masing di Pasar Tani Taman Melawati dan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Lazimnya, saya menyediakan antara 20 hingga 30 loyang kuih talam untuk jualan pada hujung minggu.

“Pada hari-hari biasa, tempahan pelanggan tidak begitu banyak dan saya turut membuat kuih lain seperti kek, tat keju, krim paf dan pulut kuning berhias mengikut tempahan.

“Saya memang suka memasak apa sahaja terutamanya kuih-muih dan kek. Saya menjadi usahawan berasaskan makanan secara serius sejak tahun 2010 menggunakan nama perniagaan Kuih Muih D Wan Ayu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Melawati, baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak tetapi membesar di Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur itu bercerita, dia sebelum ini berkhidmat di sebuah syarikat telekomunikasi dari tahun 1989 sebelum meletak jawatan melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun 2002.

Resipi ibu

Selepas itu, Wan Noridayu ada bekerja di sebuah syarikat lain selama beberapa tahun pada masa yang sama mula berjinak-jinak berniaga kuih secara separuh masa. Akhirnya dia membuat keputusan memberi tumpuan penuh kepada perniagaannya yang kian berkembang.

Dalam hal ini, resipi kuih talamnya diwarisi daripada ibunya, Azrah Abdullah, 67, yang dahulunya menjual kuih berkenaan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Ibu saya memang pakar membuat kuih talam. Kuih bingka ubinya yang paling istimewa. Ia menggunakan 100 peratus ubi, gula dan santan tanpa menambah telur atau tepung.

“Olahan resipi asli orang-orang lama memang begitu dan harus terus dikekalkan. Apa yang penting memasak dari hati dan buat kuih seperti kita sendiri hendak makan,” jelas anak sulung daripada empat beradik itu.

Selain berniaga, Wan Noridayu turut aktif menganjurkan kelas masakan melibatkan kumpulan kecil di rumahnya dengan ramai di antara mereka sudah mula berjinak-jinak berniaga sepertinya.

Dek kerana minat mendalam terhadap dunia sudip dan kuali, dia sendiri masih mengikuti pelbagai kelas masakan daripada mereka yang mahir untuk meningkatkan nilai tambah produk di samping menyediakan juadah terbaik.

“Kalau kita tidak berguru, kita akan membuang masa mencuba sesuatu yang kita tidak pasti hasilnya. Membuat pulut kuning berhias contohnya, perlu ada teknik yang betul supaya pulut yang dimasak lembut, cantik berkilat, cantik dipandang selain rasanya yang enak.

“Saya sendiri dalam kelas yang dianjurkan akan berkongsi kesemua tip dan ilmu masakan yang dimiliki supaya ilmu itu dapat dipelajari sepenuhnya oleh anak-anak didik saya,” katanya.