Mendapat pendidikan di luar negara dan di Malaysia, anak sulung daripada dua beradik itu menampilkan kelainan dengan mewujudkan restoran makanan segera yang menampilkan variasi menu makanan Indonesia dan Malaysia dalam konsep ropang iaitu makanan mudah, ringkas dan cepat yang kini menjadi tular di negara jiran itu.

Menurut Nicholas, idea restoran Kotak mula wujud semasa dia melanjutkan pengajian peringkat tinggi di luar negara.

“Saya dan rakan-rakan senegara sering merindukan masakan kampung terutama air tangan ibu. Ketika itu, jika mahu makan makanan Indonesia, saya akan memasaknya sendiri dengan panduan resipi daripada keluarga.

“Daripada pengalaman itu dan memandangkan keluarga telah menetap di Malaysia, saya mendapat ilham untuk membuka restoran dengan menu makanan Indonesia untuk memudahkan rakan senegara mendapatkan juadah kampung selain memperkenalkan ia kepada masyarakat luar,” katanya ketika ditemui K2 di premis Kotak di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ayam geprek

Tambahnya, nama Kotak diberikan buat restoran sulungnya adalah sebagai simbolik kepada konsep minimalis, moden dan ringkas yang menjadi identiti di kedai makanan segera itu.

Menurutnya lagi, restoran Kotak dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lalu dengan menawarkan lebih 35 pilihan makanan dan minuman dalam bentuk pakej serta berasingan daripada sarapan hingga makan malam.

Antara menu signatur di situ adalah ayam gerprek yang merupakan hidangan nasi bersama ayam dicampur sambal cili dengan tiga tahap kepedasan yang boleh dipilih oleh pelanggan.

Selain itu, sajian nasi sambal pedas, sambah matah dan sambah hijau petai juga merupakan menu pilihan dengan tahap kepedasan berbeza yang dihidang bersama ayam aromatik resipi turun-temurun daripada keluarga.

Bagi mereka yang mahukan juadah dengan kurang pedas, juadah ayam telur masin dan nasi ayam cendawan lada hitam merupakan pilihan ideal.

Aneka menu di restoran Kotak turut menampilkan seleksi mi sedap yang diolah dengan pilihan sajian bersama sambal dan sos pilihan.

Nasi kucing

Begitu juga menu istimewa Kotak yang menyediakan pilihan sajian autentik Indonesia seperti ayam dan ikan panggang serta sate ayam dan udang kicap.

Untuk mereka yang mahukan makanan ringan, restoran ini menyajikan beberapa sajian yang memenuhi selera rakyat tempatan seperti kotak roll dengan pilihan ayam bisa atau keju, kerepek telur masin, risoles ayam, lemper ayam, bakso ayam goreng dan sup sayur istimewa.

Sajian set sarapan beserta air juga ditawarkan bermula pukul 7.30 pagi hingga 11.30 pagi. Pelanggan boleh memilih seleksi menu seperti set lodeh lontong atau mi, bubur ayam betawi, roti bakar, telur separuh masak dan nasi kucing (nasi lemak versi Indonesia).

Restoran Kotak juga menawarkan pilihan minuman panas dan sejuk. Selain menawarkan minuman teh botol yang popular dari negara jiran, restoran Kotak juga menghidangkan minuman istimewa Cendol Bubble Tea yang disediakan daripada bahan-bahan buatan sendiri.

“Dalam perancangan akan datang, saya mahu menambah cawangan restoran Kotak di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara bagi membawa konsep kotak dan sajian harmonis Indonesia dan Malaysia ke mata dunia,” ujarnya anak muda itu mengakhiri bicara.