Anak bongsu daripada dua adik-beradik yang ‘pantang’ melihat kotak kosong itu mula mengumpul bahan yang dianggap sesetengah orang sebagai sampah tersebut sejak berusia sembilan tahun.

Azwan tidak perlu merayau jauh untuk mencari kotak kosong kerana dia boleh mendapatkan kotak pelbagai saiz dan jenama makanan mahupun minuman di kedai runcit milik neneknya yang terletak di Ladang Sungai Mai, Jerantut, Pahang.

Jangan salah anggap. Azwan, 39, bukanlah pengumpul barangan kitar semula. Dia sebenarnya mempunyai ‘misi khas’ dengan koleksi kotak yang dianggap sebagai bahan buangan tidak bernilai itu.

Berbekalkan peralatan pisau lipat saiz kecil, pengokot, gam dan pensel warna, anak kelahiran Jerantut, Pahang itu mampu menukar kotak kosong menjadi permainan robot animasi popular kesukaan kanak-kanak pada tahun 1986 menggunakan daya kreatifnya.

“Biasalah, budak-budak memang minat tengok cerita kartun adi wira dan antara animasi popular pada tahun 1980-an ialah Thundercats, Teenage Mutant Ninja Turtles, Transformers, Ultraman dan M.A.S.K. Kalau sudah minat, mestilah kita hendak memiliki patung figura berkenaan.

Cipta robot

“Ibu bekerja sebagai guru tadika dan ajar mengaji ketika itu. Pendapatannya sekitar RM300 sahaja. Permainan patung Ghostbusters cuma RM15 tetapi emak fikir banyak kali kalau hendak beli kerana ada banyak tanggungan lain.

“Apabila tidak dapat memiliki permainan yang diingini, ia menjadi dorongan yang sangat kuat kepada saya untuk memikirkan cara mendapatkannya. Saya pun tak tahu bagaimana dapat idea menginovasi kotak menjadi barang permainan,” kata Azwan tatkala mengimbas zaman kanak-kanaknya.

Apa yang mengagumkan, Azwan yang ketika itu baru berusia sembilan tahun sudah berkebolehan mencipta robot dan kenderaan menggunakan kotak tanpa mendapat bantuan sesiapa. Malah, permainan yang diciptakan itu bukan berbentuk statik atau kaku.

Ia boleh diubah suai menjadi robot daripada kenderaan tanpa perlu dipisahkan seperti penghasilan animasi popular, Transformers.

Bagaimanapun, daya kreativiti Azwan tidak sekadar memenuhi keinginan zaman kanak-kanak tetapi diteruskan sehinggalah dia meningkat dewasa.

Cuma bezanya kali ini, ia dibuat bagi memenuhi tuntutan pasaran peminat figura aksi khususnya Transformers dan ada antaranya mencecah sehingga RM10,000 untuk nilai satu robot animasi ciptaannya.

Dikenali sebagai Wan De Real dalam kalangan peminat dunia pengubahsuaian itu, bakat pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan tersebut sebagai pereka cipta khas dan pengubahsuaian figura aksi mendapat perhatian bukan sahaja dalam negara.

Bahkan, permintaan turut meliputi luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Australia. Kebanyakan peminat tidak kisah melaburkan duit semata-mata mahu melengkapkan koleksi robot mereka.

“Saya lebih cenderung kepada sesuatu yang boleh diubah suai seperti motosikal jadi helikopter dan sebagainya. Disebabkan itu, saya lebih meminati adi wira M.A.S.K. dan Transformers kerana ia boleh berubah dalam pelbagai bentuk. Tanyalah apa sahaja mengenai adiwira berkenaan, saya boleh jawab dan kepakaran pengubahsuaian dalam kategori animasi tersebut,” katanya.

Juri

Tanpa merujuk sesiapa, idea yang diperoleh berdasarkan pengalaman zaman kecil dan ilmu yang diperolehnya sebagai graduan Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka Teknologi dan Seni Halus (Arca) dipraktikkan dalam penciptaan figura robot.

Kepakaran anak muda itu akhirnya menambat perhatian juri antarabangsa apabila berjaya menjuarai pertandingan Triple Threat Challenge iaitu pertandingan reka cipta khas Transformers yang dianjurkan di Amerika Syarikat menerusi penciptaan Masterpiece Astrotrain.

Kini, Azwan bukan sahaja aktif dalam pengubahsuaian aksi figura tetapi mendapat tempahan hasil seni lain seperti prototaip produk, prop filem, diorama dan arca.

Terbaharu, tempahan diterima untuk menyiapkan saiz sebenar model kepala helikopter Sikorsky Black Hawk untuk prop dokumentari The Black Hawk Down: Wira Keamanan.

“Apa yang saya lakukan ini memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi. Selain prosesnya yang sukar, kita juga perlu kreatif menentukan bahan apa boleh digunakan, pengukuran tepat dan paling penting adalah idea bagaimana merealisasikannya.

“Biarpun agak rumit, ia sangat berbaloi. Sepanjang terlibat dalam dunia penciptaan aksi figura ini, saya dapat menjana pendapatan tambahan sebanyak RM50,000 selain membuktikan rakyat Malaysia juga hebat dalam dunia ini,” katanya. – BERNAMA