Program selama sehari itu melibatkan aktiviti konvoi motosikal ‘kapcai’ dari ibu negara menuju ke Bukit Fraser, Pahang dengan jarak sejauh 120 kilometer.

Menariknya, program tersebut berjaya menarik penyertaan sebanyak 60 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia.

Ketua Cawangan Gerakan Belia 4B Kampung Paya, Mohammad Rashidi Adami berkata, program XBB dianjurkan bertujuan menyatupadukan para belia di Kampung Paya.

Jelasnya, menerusi program itu para belia di situ dalam mengenali antara satu sama lain serta mengukuhkan lagi silaturahim yang sedia terjalin.

“Program ini adalah kali pertama kali anjurkan. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan belia.

“Program ini juga diharap dapat mengisi cuti hari minggu para belia dengan aktiviti berfaedah dan mengelakkan mereka terlibat dalam jenayah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Para peserta diberikan minyak motosikal, makanan selain sehelai baju-T secara percuma.

Pada pertengahan perjalanan, para peserta singgah sebentar di Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Rumah Ehsan tersebut menempatkan 216 orang orang kelainan upaya (OKU).

Di situ, pada peserta bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar serta menyantuni beberapa penghuni.

Menurut Rashidi, lawatan ke Rumah Ehsan bertujuan menyedarkan para peserta konvoi supaya berbakti kepada orang kurang berkemampuan.

“Di sini, para peserta konvoi berpeluang melihat sendiri kehidupan para penghuni yang terdiri daripada OKU fizikal dan mental.

“Semua peserta melahirkan rasa kasihan terhadap kehidupan penghuni di situ. Malah, ada turut mengalirkan air mata,” katanya.