Mana tidaknya, motosikal legenda itu cukup terkenal sekitar tahun 60-an dan sehingga kini masih mempunyai peminat sendiri.

Salah satu kelab peminat jentera itu adalah Kelab Antique Motor Kulim yang mengembara ke selatan Thailand pada 5 hingga 9 Disember lalu.

Bermula dari Kulim, Kedah, seramai tujuh orang pemilik Honda C70 telah menempuh perjalanan sejauh 1,258 kilometer (km) dan semestinya ia sangat mencabar.

Ahli kelab yang menyertai kembara itu ialah Abdul Razak Buhari, 48; Haidir Anuar Mohd. Ali, 34; Ahmad Mahtar, 30; Azmer Shahidin, 25; Mohd. Halizi Hassan, 31, dan Azmi Mahtar, 35.

Pengerusi kelab, Abdul Razak berkata, aktiviti seumpama itu bukanlah suatu perkara yang mudah, apatah lagi dengan menunggang motosikal jenis klasik.

“Kembara jarak jauh seperti ini selalunya dilakukan oleh motosikal berkuasa tinggi dan untuk menjayakan kembara tersebut, sememangnya amat sukar lebih-lebih lagi motosikal Honda C70 mempunyai kelajuan maksimum hanya 80km sejam.

“Semua peserta sangat bersemangat dan akhirnya, kami dapat sampai ke Krabi, Phuket dan Trang, Thailand dengan hanya menunggang motosikal kapcai Honda C70,” kongsinya.

Katanya lagi, dengan menunggang motosikal Honda C70 itu, mereka bertujuh berjaya sampai ke Trang, Krabi dan Phuket, Thailand.

“Konvoi begini berjaya menyatukan penunggang Honda C70 dari tiga buah negeri iaitu Kedah, Perak dan Kuala Lumpur, malah banyak kenangan pahit manis yang kami terpaksa tempuhi.

“Berkat kesabaran dan keupayaan yang kami miliki, kami berjaya mengharungi dan mencatat sejarah tersendiri,” kata Abdul Razak lagi.