Pertama, masih ada dalam kalangan umat Islam yang berpendapat bahawa memberikan ucap selamat sempena hari perayaan kepada penganut agama lain adalah haram.

Kedua, ada dalam kalangan yang mengkritik Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana melarang umat Islam menyertai upacara bertafakur dan memasang lilin bagi memperingati penyanyi terkemuka K-pop, Kim Jong-hyun yang membunuh diri.

Isu pertama mengenai ucap selamat kepada penganut agama lain tidak wajar dibangkitkan kerana ia telah lama diputuskan harus oleh para ulama di Malaysia dan Indonesia.

Namun, isu itu masih dikitar semula dalam media sosial oleh mereka yang tidak mengikuti perkembangan dan beranggapan boleh ‘dapat pahala’ jika disebarkan.

Malah banyak isu lain khususnya halal atau haram makanan yang dikitar semula oleh golongan tidak mengikuti perkembangan ini sehingga sedikit sebanyak mencetuskan kekecamukan dalam kalangan orang ramai.

Terpaksalah pihak syarikat pengeluar makanan atau minuman yang ‘diharamkan’ itu membuat penafian berulang kali dengan menyiarkan semula salinan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Anehnya, perkara yang sama akan berulang pada setiap tahun. Kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini, elok diperingatkan bahawa mengharamkan perkara yang halal adalah haram dan menyebarkan berita palsu yang menjejaskan kepentingan orang lain bolehlah ditakrifkan sebagai memfitnah, salah satu dosa besar.

Inilah sisi keburukan media sosial jika penggunanya tidak mengamalkan sikap tabayyun terhadap apa jua bahan siaran yang diterima.

Tabayyun dari sudut bahasa maknanya ialah mencari kebenaran tentang sesuatu hingga jelas keadaannya. Dengan kata lain, kalau kita menerima berita daripada satu pihak, maka janganlah tergesa-gesa mempercayainya.

Perlu ada penjelasan dan pengesahan daripada pihak yang berkelayakan supaya tidak menimbulkan dosa serta penyesalan akibat keputusan yang tidak adil atau merugikan pihak lain.

Tabayyun diwajibkan dalam agama Islam sebagaimana firman Allah:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (Al-Israa’:36)

Tabayyun amat perlu dalam arus penyebaran maklumat yang sangat pantas melalui telefon pintar sekarang tetapi berapa orangkah yang mengamalkannya?

Apakah beriman seseorang yang tidak mengamalkan tabayyun?

Nampaknya, dalam isu ucap selamat kepada penganut agama lain juga ada pelanggaran tabayyun sedangkan perkara ini sudah jelas keputusannya.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, keharmonian antara kaum dan agama perlu dipupuk melalui sikap saling menghormati serta memahami.

Sangat tercela

Sikap ini bersifat dua hala kerana keharmonian akan punah jika hanya satu pihak mengamalkan toleransi. Maka, ucap selamat adalah harus sebagai satu komponen memupuk keharmonian.

Dalam kes kritikan terhadap Mufti Perak, sepatutnya pengkritik memahami bahawa membunuh diri adalah perbuatan yang sangat tercela bagi orang Islam.

Begitu juga sebarang pemujaan terhadap seseorang melalui upacara memperingati dan berdoa umumnya. Apatah lagi yang dipuja itu hanyalah seorang penyanyi pop dari Korea Selatan.

Bertafakur dan memasang lilin untuk seorang yang mati membunuh diri adalah salah bagi orang Islam. Sekalipun ada unsur berdoa.

Perkara ini jelas dan wajar difahami oleh orang bukan Islam. Anehnya, ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang mempertikai larangan Mufti Perak itu.

Nampaknya, unsur liberalisme dan pluralisme jelas telah meresapi sanubari sebilangan orang Islam terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Apa yang dibuat oleh penganut agama lain mudah diterima sebagai satu amalan sejagat yang kononnya tidak akan menjejaskan iman.

Maka, ada yang tergamak menyatakan apa salahnya memperingati dan berdoa untuk seorang penyanyi pujaan K-pop.

Sebenarnya, umat Islam boleh berdoa untuk orang bukan Islam tetapi ada syarat dan peraturannya.

Kita boleh mendoakan agar Allah mengurniakan mereka hidayah supaya memeluk Islam.

Kedua, mendoakan kebaikan dalam perkara dunia. Misalnya mendoakan supaya disembuhkan daripada penyakit.

Ada hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah mengizinkan doa-doa sedemikian.

Bagaimanapun, mendoakan seseorang bukan Islam supaya diberikan kesejahteraan dan keampunan adalah dilarang.

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (At-Tawbah:113)

Adalah difahami jika yang mengkritik Mufti Perak itu daripada kalangan orang bukan Islam kerana mereka tidak faham tentang Islam.

Namun, sebilangan yang mengkritik itu adalah orang Islam. Adakah kerana jahil atau mereka adalah manifestasi bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme kian meresapi pemikiran umat Islam?