Ia juga boleh dikatakan sebagai pekerjaan sementara dan berdasarkan projek atau kontrak.

Melalui konsep itu, ahli-ahli ekonomi melihat ia mampu berkembang dengan pantas.

Jika diamati, ekonomi gig adalah sebuah model ekonomi yang memerlukan pekerja dan peniaga menggunakan sistem kontrak atau projek untuk aktiviti perniagaan mereka.

Pekerja dalam sektor tidak formal termasuk mereka yang terlibat dengan ekonomi gig iaitu sekumpulan individu yang mempunyai pekerjaan sementara atau fleksibel dalam talian mahupun perniagaan, pemandu Grab atau Uber, kontraktor bebas serta freelance (separuh masa).

Kira-kira dua atau tiga tahun lalu, kita melihat sesuatu yang janggal apabila seseorang mengubah pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan setelah bekerja.

Namun, kini perkara itu telah menjadi trend atau satu perkara biasa.

Jalan keluar

Perkembangan ini juga dapat dilihat daripada perspektif perniagaan.

Mempunyai pekerja bergilir dan mengikut kemahiran yang diperlukan bagi setiap projek merupakan jalan keluar kepada pengurangan kos operasi.

Ia juga dapat mendatangkan kesan peningkatan kualiti pada kemahiran pekerja bagi sesuatu projek.

Sebelum ini, sesebuah organisasi itu terbiasa untuk menggaji ribuan pekerja pada satu-satu masa jika mereka mempunyai beberapa projek yang berjalan pada masa yang sama.

Namun, organisasi itu tadi hanya boleh mempunyai pekerja yang tidak melebihi lima orang setelah sesuatu projek itu tamat.

Perkembangan ekonomi gig tidak dapat dipisahkan daripada pembangunan sistem digital yang semakin menjadi salah satu komponen utama dalam aktiviti perniagaan.

Walaupun terdapat sebilangan besar negara maju yang terkehadapan dalam bidang digital, masih banyak dalam kalangan negara itu yang meragui kelestarian konsep ekonomi gig ini.

Beberapa perkara yang menarik perhatian ialah masalah undang-undang dan kebajikan pekerja.

Faktor-faktor seperti ini menjadikan keadaan pada masa itu terlalu sukar untuk meramalkan bagaimana perkembangan ekonomi gig pada era digital.

Namun, apa yang pasti konsep ekonomi ini sangat menepati dan seiring dengan tingkah laku serta jiwa Generasi Millennial iaitu generasi pertama yang mengenal teknologi yang menggemari cabaran dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang bersifat statik, terkongkong serta berulang.

Jika dilihat pada perkembangan dunia digital hari ini, sesebuah organisasi yang bersaing dalam persekitaran digital harus membuat dan menyesuaikan konsep ekonomi gig dalam aktiviti perniagaan mereka.

Ia bagi tujuan menarik dan mengekalkan Generasi Millennial baik sebagai pelanggan mahupun pekerja.

Persoalannya, adakah sebagai sebuah organisasi yang beroperasi pada era digital mahupun dalam revolusi industri 4.0, organisasi-organisasi telah bersedia dengan cabaran ini?

Trend ke arah ekonomi gig atau ekonomi bersama telah bermula dan ini dapat dilihat dengan kemunculan serta perkembangan model perniagaan melalui aplikasi dalam talian serta pengenalan istilah ‘kedudukan kontrak sementara’ dan ‘kontrak atas permintaan’ dengan kehadiran pekerja bebas ini.

Perkara ini digunakan dengan meluas termasuk perniagaan berasaskan sistem aplikasi seperti Uber, Airbnb dan Freelancer.com.

Ekonomi gig telah mengubah konsep kerja secara besar-besaran dan kini ia menghasilkan aliran pendapatan baharu yang lebih fleksibel kepada masyarakat.

Ini amat bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat Malaysia berkembang sebagai sebuah negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Harapan

Sebenarnya, model ekonomi ini telah lama wujud, Financial Times mendefinisikan ekonomi gig sebagai ‘pekerja yang menyediakan dirinya sendiri sesuai dengan pelbagai jenis pekerjaan freelance yang tidak menyediakan manfaat asas seperti rawatan kesihatan’.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi hari ini telah menambah baik sistem ekonomi itu dengan mengubah cara individu ‘melaksanakan atau bekerja’.

Walaupun konsep gig ini telah lama wujud iaitu sejak tahun 1920-an apabila dirujuk kepada kelab pemuzik jaz, perbezaan utama dalam ekonomi gig saat ini ialah peranan teknologi.

Ia seperti pengenalan kepada pelbagai jenis aplikasi yang menjadi pemudah cara dalam memecah halangan masuk bagi orang-orang yang tidak mempunyai kebolehan untuk melaksanakan dua atau tiga jenis pekerjaan serentak.

Semoga perkembangan ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan ramai lagi usahawan digital yang berminat untuk terjun ke dunia ekonomi gig serta menjana pendapatan secara global dan mengukuhkan ekonomi negara.