Antara yang dihidangkan adalah nasi bukhara bersama gulai kawah daging yang dicampur bersama kedondong, gulai kawah tulang rusuk kambing bersama ubi kentang dan gulai kawah ayam kampung bersama pisang muda lemak manis.

Menurut Cef De Cuisine Pusat Konvensyen, Mohamad Noor Musa, pada tahun ini pihaknya memperkenalkan konsep bazar kontemporari interaktif kepada pengunjung yang hadir.

“Suasana santai yang telah diubah suai ke gerai-gerai makanan klasik di tepi jalan menjanjikan pengalaman yang pasti sukar dilupakan oleh pelanggan kami pada bulan Ramadan ini.

“Cef kami memasak makanan jalanan kegemaran ramai seperti barbeku Thai, stimbot, kuetiau goreng Pulau Pinang dan sate ayam serta daging,” katanya katika ditemui K2 di Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, terdapat juga hidangan ayam kampung masak cencaluk; lemak asam telur itik bersama sayur munggai; tembosa dan ubi getok; udang laut dengan durian dan makanan laut panggang ala Portugis.

Orang ramai dijamin mendapat layanan dan perkhidmatan cemerlang serta sajian makanan bertaraf lima bintang apabila menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan pada harga RM150 seorang.