“Malangnya, lama-kelamaan ia menjadi semakin teruk sehingga memaksa saya merujuk kepada hospital. Doktor memberitahu mata saya telah terkena radang yang teruk dan mungkin mengalami jangkitan. Jika tidak dirawat segera, saya mungkin menjadi buta seumur hidup,” kongsi seorang pesakit katarak berusia 50-an yang enggan dikenali.

Dia merupakan antara pesakit yang telah mendapatkan rawatan couching bagi membuang katarak pada mata kirinya daripada seorang pengamal perubatan alternatif yang tidak bertauliah. Rawatan yang disangka mampu menambahbaik kualiti penglihatannya yang kabur itu malangnya memberi kesan sampingan yang lebih memburukkan.

Katarak menyebabkan kanta mata yang jernih menjadi keruh seolah-olah diselaputi kotoran. Ia terjadi disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah proses penuaan, kecederaan mata, penyakit-penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat.

Kabur

Pada peringkat awal, pesakit akan merasakan pandangan mereka kabur dan tidak dapat fokus pada sesuatu objek seolah-olah dilitupi sesuatu. Lama-kelamaan, selaput putih atau katarak akan mula kelihatan jelas pada permukaan kanta. Ia perlu dibuang sekiranya penglihatan menjejaskan aktiviti harian pesakit seperti memandu, membaca atau menonton televisyen.

Selaput putih tersebut hanya boleh dibuang dengan pembedahan yang dikendalikan oleh doktor bertauliah.

Rawatan couching yang dilakukan untuk merawat katarak ialah teknik menolak kanta mata ke dalam rongga vitreous dan dijalankan oleh pihak tertentu.

Menurut Ketua Jabatan Oftalmologi, Hospital Shah Alam, Dr. Nor Fariza Ngah, rawatan tersebut mengundang bahaya kerana perbuatan menolak kanta mata ke dalam rongga vitreous boleh menyebabkan terjadinya radang.

“Apabila kanta mata ditolak ke rongga vitreous, ia akan menyebabkan kesan tarikan pada retina oleh vitreous dan mengundang komplikasi koyakan pada retina seterusnya menyebabkan kelekangan retina. Sekiranya ia dibiarkan tanpa dirawat, pesakit berisiko menjadi buta.

“Pesakit dikaburi dengan kesan pandangan terang selepas melakukan rawatan coaching kerana kanta berkabus sudah dihilangkan, namun adakah pandangan yang terang itu membolehkan mereka melihat dengan jelas dan tepat? Hakikatnya, pandangan terang tersebut hanya bersifat sementara kerana tanpa kehadiran kanta gantian, penglihatan tidak dapat difokuskan dengan tepat dan menyukarkan untuk melihat dengan jelas.

“Tanpa disedari, secara perlahan-lahan pandangan mereka semakin kabur, mungkin mengalami komplikasi glaukoma akibat tekanan bebola mata yang terlalu tinggi, saraf mata mati dan akhirnya buta.

“Proses ini mungkin mengambil masa beberapa tahun kerana kanta yang menjadi benteng sudah ditolak masuk,” terangnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, rawatan couching juga boleh mendatangkan jangkitan pada mata kerana tidak dapat dipastikan adakah pihak berkenaan menggunakan alatan yang telah dinyahkuman dan kawasan mata telah dibersihkan terlebih dahulu sebelum memulakan rawatan.

“Kebanyakan pesakit yang membuat rawatan couching mudah terpengaruh dengan propaganda yang mendakwa katarak dapat dirawat cepat tanpa perlu pembedahan dan pemeriksaan menyeluruh di hospital.

“Pesakit hanya tampil untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami radang mata dan komplikasi lain,” jelas Nor Fariza.

Prosedur tertua

Kaedah couching dipercayai merupakan prosedur tertua pembedahan membuang katarak yang diamalkan sejak lebih 3,000 tahun dahulu. Namun, selepas perkembangan pembedahan moden membuang katarak pada kurun ke-19, ia jarang digunakan kecuali di beberapa negara kelas ketiga di Asia dan Afrika.

Pengamalnya perlu menggunakan alat tajam seperti jarum untuk menolak selaput katarak yang sudah masak ke bahagian karung belakang lensa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Optometri Malaysia, Datuk Murphy Chan Hian Kee berkata, kanta mata digunakan untuk memberi pandangan fokus terhadap sesuatu objek.

“Perbuatan ‘menghilangkan’ kanta mata bermaksud menarik fungsinya untuk melihat sesuatu dengan tajam, malah boleh mengakibatkan jangkitan serius kerana mata merupakan organ yang sangat sensitif.

“Sebelum mendapatkan sebarang rawatan, pesakit perlu merujuk kepada pengamal perubatan bertauliah seperti pegawai optometri bagi mendapatkan khidmat nasihat atau doktor oftalmologi untuk rawatan susulan,” ulasnya sewaktu dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, walaupun pegawai optometri tidak boleh menjalankan pembedahan membuang katarak, namun mereka boleh mengesan kehadiran katarak pada mata menggunakan mesin slit lamp biomikroskop atau ujian oftalmoskop. Sejarah kesihatan pesakit akan dicatatkan bagi memberi khidmat nasihat bersesuaian untuk rawatan susulan.

“Kedudukan katarak pada mata dan gaya hidup pesakit perlu diambil kira. Sekiranya pesakit merupakan seorang yang perlu menggunakan mata dengan pandangan fokus misalnya memandu atau terlibat dalam industri pembuatan, maka mereka perlu mendapatkan rawatan seperti pembedahan segera.

“Selain itu, kedudukan katarak pada bahagian tengah lensa juga perlu diberi rawatan segera berbanding jika ia berada di bahagian tepi,” ulasnya lanjut.