Terkenal dengan kelembutan daging dan rasa sos menakjubkan, restoran berstatus halal ini bakal menawan hati penggemarnya dengan penampilan menu Kombo Sizzling baharu.

Pengurus Besar Jenama NYSS, Muhd. Adam Mah berkata, menu tersebut terdiri daripada hidangan stik daging striploin bersama empat seleksi daging istimewa pilihan pelanggan.

“Bersama stik striploin yang lazat, pelanggan boleh memilih sama ada ingin menikmatinya bersama bebola daging, kambing noisette, daging lembu salai serta ayam southwest diimport khas dari Australia yang disajikan bersama hirisan bawang segar, jagung serta dua pilihan sos sama ada sos lada hitam mahupun sos coklat.

“Hidangan Kombo Sizzling baharu ini turut dilengkapi snek bawang putih rangup dan bawang putih mentega sebagai penambat selera serta makanan sampingan seperti salad dan kentang goreng,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis memperkenalkan hidangan itu di pusat beli-belah Subang Parade, Subang Jaya baru-baru ini.

Jelasnya, NYSS sentiasa menitikberatkan mengenai pengalaman makan yang menyeronokkan. Disebabkan itu, ciri unik setiap kombo ini bukan hanya terletak pada gabungan dua jenis daging berbeza, malah kesegaran bahan serta makanan sampingan yang dihidangkan bersama dalam satu pinggan.

Harga yang ditawarkan bagi stik striploin dengan kambing noisette ialah RM58.80, stik striploin dengan daging salai (RM52.80), stik striploin dengan ayam southwest (RM52.80) dan stik striploin berserta bebola daging (RM48.80).

Tambah Muhd. Adam, kenikmatan keempat-empat hidangan ini pastinya dirasai pelanggan lebih-lebih lagi dengan kehadiran minuman moktel Pina Coco iaitu gabungan kelapa dan nanas; strawberry lemonade (strawberi dengan lemon) serta cranberry cooler (kranberi bersama limau mandarin).

“Meriahkan promosi hidangan istimewa ini yang dijual sejak 1 Oktober lalu hingga 11 November 2018 ini di semua cawangan NYSS di seluruh negara,” katanya.