Deuter yang bermula di Jerman selepas diperkenalkan oleh Hans Deuter pada tahun 1898 merupakan salah satu pembuat beg sandang terawaldi dunia.

Sehingga kini, Deuter sudah dipasarkan di pelbagai negara di dunia. Salah satu rahsia kejayaannya ialah dengan mengadakan kerjasama erat bersama atlet profesional khususnya dalam bidang rekreasi dan sukan lasak.

Malah, reputasi jenama Deuter juga berada pada tahap yang memuaskan hasil penambahbaikan dan inovasi yang sentiasa diperkenalkan saban tahun sebagai usaha memikat kesetiaan pengguna dari seluruh dunia.

Bagi terus mendapat sokongan daripada penggiat sukan lasak, Deuter memperkenalkan pelbagai produk pada koleksi tahun 2018 baru-baru ini. Lebih manis, Malaysia dipilih sebagai negara pertama di rantau Asi Tenggara yang mendapat peluang melihat koleksi terbaharu itu.

Koleksi itu dipertontonkan kepada pengedar sah jenama tersebut dari seluruh negara menerusi sesi khas yang diadakan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor.

Produk itu akan memasuki pasaran pada awal tahun depan.

Di negara ini, kesemua barangan Deuter dibawa masuk oleh syarikat barangan kelengkapan sukan dan rekreasi, United Fitness Leisure Sdn. Bhd., (UFL) yang dilantik sebagai pengedar tunggal jenama itu.

Pengurus Jualan Antarabangsa Deuter, Christian Lechelmayr berkata, koleksi 2018 menampilkan beberapa penambahbaikan selain pengenalan ciri-ciri baharu yang tidak terdapat pada produk jenama itu sebelum ini.

Malah, beg sandang yang diperkenalkan bagi koleksi 2018 turut diberi sentuhan kombinasi warna yang lebih menarik.

“Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan ialah sistem belakang beg yang mesra pengguna dengan teknologi yang lebih baik.

“Ia termasuklah Aircomfort Sensic Vario, Lite, Airstripe System dan Aircomfort Sensic.

“Kesemua ciri-ciri baharu itu mampu memberikan lebih keselesaan kepada pengguna walaupun ketika membawa bebanan berat untuk jarak pengembaraan yang jauh,” katanya.

Menurut Lechelmayr, selain beg galas, koleksi 2018 turut merangkumi pelbagai produk lain bagi kegunaan aktiviti lasak seperti mendaki, mengembara dan memanjat gunung batu selain kelengkapan untuk seisi keluarga.

Jelasnya, kesemua koleksi itu bakal memberi pengalaman baharu kepada pengguna dalam konteks penampilan dan penggunaannya.

Sementara itu, Pengarah Urusan UFL, Datuk V. Radha Krishnan berkata, pihaknya menjangkakan permintaan terhadap produk jenama Deuter akan terus kukuh dalam pasaran negara ini terutamanya selepas penambahbaikan yang diberikan terhadap koleksi terbaharu itu.

“Projek Deuter sememangnya sudah mempunyai tapak yang kukuh di negara ini kerana ia merupakan antara jenama yang menjadi pilihan penggemar aktiviti rekreasi dan sukan lasak sama ada profesional mahupun amatur.

“Kami yakin, ciri-ciri baharu yang ada pada koleksi 2018 ini akan menarik minat lebih ramai orang untuk menggunakannya,” katanya.

Radha Krishnan menambah, pihaknya turut menjangkakan nilai jualan produk jenama itu akan meningkat pada tahun hadapan berbanding tahun-tahun sebelumnya.