Kumpulan yang dipercayai wujud sejak lebih 600 tahun lalu itu mempunyai keunikan tersendiri hasil perkahwinan campur antara nenek moyang mereka yang berdagang ke Melaka. Perkahwinan bersama wanita tempatan telah melahirkan budaya Cina yang unik.

Masyarakat Baba dan Nyonya sedikit sebanyak mewarisi budaya Melayu. Sehingga kini, masih ada dalam kalangan kumpulan itu menjadikan amalan serta pegangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka.

Identiti masyarakat Baba dan Nyonya boleh dikenali menerusi pemakaian iaitu kebaya pendek bersulam yang dipadankan dengan sarung batik warisan nenek moyang.

Atas rasa tanggungjawab untuk mempromosi budaya masyarakat ini dan memastikan warisan itu tidak terpinggir, Maisarah Loo tampil dengan pameran solonya berjudul Maisarah Loo: Captivating Nyonya Series dalam bentuk lukisan di Balai Seni Lukis Melaka.

Anak kelahiran Melaka berketurunan Baba dan Nyonya berusia 38 tahun itu merupakan artis yang tidak asing lagi di Malaysia. Karyanya lebih cenderung dengan tema penuh warna warni.

Pameran solo itu menampilkan lukisan yang diilhamkan melalui interaksi pelbagai budaya, nilai dan watak.

Maisarah mempunyai kepakaran dalam menghasilkan lukisan potret menggunakan medium cat minyak di atas kanvas dan banyak melukis senario serta pemandangan yang mencetuskan sesuatu yang ingin diketahui.

“Nyonya menjadi tema utama dalam siri pameran kali ini. Karya seni yang dihasil bercirikan pelbagai bentuk wajah yang berbeza dengan komposisi ekspresif lembut.

Ekspresi

“Dalam lukisan wajah-wajah wanita Nyonya menjalankan kehidupan seharian, saya hasilkan ekspresi mata terpejam untuk menggambarkan perasaan mendalam.

“Selain itu, leher yang jinjang dan tangan yang lebih kecil untuk menggambarkan kecantikan tersendiri masyarakat ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Melaka baru-baru ini.

Pada pameran itu, sebanyak 25 buah karya diketengahkan antaranya Nyonyas Playing Congkak, Four Nyonyas Morning Chat serta Nyonya and Her Violin, Happy Moments Mother Daughter and Son.

Sehingga kini, Maisarah telah mengembara ke lebih 30 buah negara untuk mendalami pelbagai budaya dan kehidupan masyarakat selain menghadiri kursus seni di Madrid, Sepanyol.

Karya seninya banyak dipengaruhi oleh latihan artistik di Eropah, namun tema dalam lukisannya lebih menekankan akar budaya serta sejarah Asia Tenggara.

Maisarah juga telah beberapa kali mengadakan pameran seperti Pameran Seni Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia dan Pameran Artis Tempatan di Pusat Kebudayaan Karyaneka, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau pernah menyertai Artis Art Fair Malaysia 2015 di Stadium Chin Woo dan Malam Apresiasi Seni di KitaKita Art Cafe manakala pameran solonya pernah diadakan di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside di Putrajaya pada tahun 2015.

Beliau juga pernah menyumbangkan dua buah lukisan untuk lelongan pada majlis makan malam amal Persatuan Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata, Melaka sememangnya terkenal dengan keunikan masyarakatnya yang tersendiri dalam aspek warisan dan kebudayaan sehingga diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia.