Cef Chua Kok Hua merupakan juara dalam satu pertandingan kelayakan ke Piala Dunia Susyi itu, sekali gus menjadi wakil Malaysia.

Pertandingan kelayakan itu diadakan pada November tahun lalu bersama dengan latihan daripada Akademi Susyi Global, NSC dan Institut Kemahiran Susyi Dunia.

Menurut Kok Hua, pertandingan kelayakan yang dilalui bersama latihan yang dikendalikan cef terkenal, Hirotoshi Ogawa itu melibatkan 20 peserta dari pelbagai restoran Jepun di Malaysia.

Jelasnya, Ogawa memberi tumpuan pada kemahiran asas membuat susyi dan topik kritikalnya ialah pengendalian makanan laut secara higernik. Ia merupakan latihan kali kedua diadakan di Malaysia.

“Latihan tersebut telah membuka mata saya mengenai setiap maklumat terperinci dalam pembuatan susyi.

“Saya tidak sangka memenangi pertandingan kelayakan itu sebab peserta lain lebih berpengalaman dan mahir daripada saya,” kata Kok Hua ketika ditemui pada majlis memperkenalkan wakil Malaysia ke Piala Dunia Susyi 2018 di Kedutaan Norway, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, wakil Kedutaan Norway di Malaysia, Gunn Jorid Roset.

Kok Hua mula bekerja di beberapa hotel lima bintang di Singapura sejak berusia 16 tahun lagi. Daripada situ, dia mula mempelajari selok-belok memasak. Kemahirannya dalam pembuatan susyi bermula apabila ditawarkan bekerja di sebuah restoran Jepun.

Selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, pada 2016, Kok Hua bersama isterinya, Lily pulang ke Malaysia dan membuka sebuah kedai makanan Jepun, Two Chefs Lab di Sungai Long, Kuala Lumpur.

“Walaupun cabaran berterusan tetapi saya percaya kerja-kerja seperti ini memerlukan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dengan menyertai pertandingan ini, ia dapat membantu kami untuk terus mara sehingga kami bercadang untuk meluaskan cawangan kedua di Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Serantau Asia Tenggara NSC, Jon Erik Steenslid berkata, salmon dari Norway adalah pilihan ikan yang paling disukai di restoran-restoran susyi di Malaysia.

“Bagaimanapun, salmon sering dikaitkan dengan makanan mentah dan cacing parasit yang sebenarnya disebabkan pengendalian makanan laut tidak bersih.

“Pengendalian ikan mentah secara betul adalah sangat penting untuk cef terlatih di Jepun. Oleh itu, sudah tibanya NSC memberi pendidikan untuk cef susyi di Malaysia menggunakan salmon dari Norway,” ujarnya.

Tambah Erik Steenslid, Norway adalah perintis terkenal dunia dalam penternakan moden untuk ikan salmon dan trout. Setiap penghasilan salmon akan dilakukan dengan cermat dan dipantau oleh pekerja berpengalaman.

Selama berabad-abad, makanan laut memberi sumber asas pemakanan kepada penduduk Norway maka, tidak hairanlah negara itu sentiasa memberikan dan mengeluarkan salmon terbaik.