Never Was The Shade mengisahkan pertelingkahan dua beradik tiri yang menganut agama berbeza berkenaan pengebumian ayah mereka.

Menerusi dialog yang diolah dengan begitu baik dan lakonan yang mengesankan oleh para pelakon, Kean Hian berjaya menyampaikan hakikat terpendam mengenai percanggahan antara hubungan sesama manusia dan agama dengan berkesan.

Bercakap pada majlis anugerah tersebut, Kean Hian berkata, dia tidak sangka akan memenangi hadiah utama memandangkan penyertaannya dalam BMW Shorties adalah penyertaan sulungnya.

“Pada masa yang sama, saya juga bersyukur kerana pasukan saya mempunyai keyakinan terhadap wawasan saya dalam menghasilkan Never Was The Shade,” ujarnya pada majlis tayangan dan pengumuman pemenang BMW Shorties 2017 di APW Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BMW Shorties 2017 telah menerima sebanyak 90 penyertaan dengan sembilan buah filem telah disenarai pendek untuk dipertandingkan.

Dalam penerangannya mengenai latar dan idea di sebalik Never Was The Shade, Kean Hian menjelaskan bahawa walaupun pertalian adik-beradik dihubungkan dengan pertalian darah yang sama namun adakalanya mereka mungkin tidak akan sependapat.

Sementara itu, mengulas mengenai tanggapan keseluruhan bagi Never Was The Shade, pembikin filem dan pengadil Tan Chui Mui berkata, Never Was The Shade mempunyai semua ciri untuk sesebuah filem pendek memenangi anugerah.

“Ia mempunyai lakonan dan sinematografi yang mengesankan, reka bentuk produksi yang teliti dan yang paling utama, cerita yang berkesan. Semua ini dicapai hanya dengan dua orang pelakon, satu lokasi dan peruntukan belanja yang ketat,” ujarnya.

Melalui kemenangan itu, Kean Hian menerima habuan geran produksi sebanyak RM75,000 daripada Kumpulan BMW Malaysia berserta panduan dan bimbingan daripada panel pengadil pertandingan tersebut untuk menerbitkan filem pendek beliau secara profesional.

Filem itu turut membawa pulang anugerah bagi Pelakon Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.