Seiring dengan tanggungjawab itu, pihak jabatan menawarkan perkhidmatan penyiasatan tanah yang bertujuan untuk mengenal pasti jenis tanah dan potensinya untuk sektor pertanian.

Khidmat lain yang ditawarkan ialah khidmat nasihat kesuburan dan pemuliharaan tanah, khidmat analisis makmal dan membekalkan maklumat geospatial tanah dan guna tanah.

Di Semenanjung Malaysia, perkhidmatan ini diselia oleh Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah terletak di Wisma Tani Putrajaya dan 10 unit lain di 10 buah negeri kecuali Perlis yang di bawah tanggungjawab unit Kedah.

Perkhidmatan yang serupa juga disediakan oleh negeri Sabah dan Sarawak dan diselia oleh Jabatan Pertanian negeri masing-masing.

Sebagai pemegang amanah kepada maklumat tanah, Jabatan Pertanian berperanan memetakan pelbagai jenis tanah di seluruh negara pada tiga peringkat iaitu penyiasatan tanah tinjauan, penyiasatan tanah separa lengkap dan penyiasatan tanah lengkap.

Ketiga-tiga jenis penyiasatan tanah ini dibezakan oleh intensiti pemetaan dan tujuan siasatan tanah tersebut dijalankan.

Peta tanah yang menunjukkan taburan jenis tanah di sesuatu kawasan dapat dihasilkan daripada maklumat penyiasatan tanah, seterusnya membantu dalam perancangan projek pertanian di kawasan terbabit.

Maklumat yang diperoleh daripada kerja-kerja penyiasatan tanah akan digunakan untuk menghasilkan laporan kesesuaian tanah yang merangkumi sifat-sifat tanah secara fizikal dan kimia, masalah-masalah pada tanah, jenis-jenis tanaman yang sesuai, berpotensi dan tidak sesuai ditanam serta amalan-amalan pengurusan tanah yang perlu dijalankan.

Pada tahun 2017 sahaja, Jabatan Pertanian telah menyediakan 900 laporan kesesuaian tanah melibatkan kawasan seluas 77,058.4 hektar.

Permohonan ini datangnya daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pakar perunding, pihak swasta, pelajar dan individu untuk pelbagai tujuan seperti permohonan tanah baharu, permohonan tukar syarat tanah, pembangunan ladang, kajian impak alam sekitar (EIA) dan penyelidikan.

Bayaran

Bagaimanapun, perkhidmatan penyiasatan tanah berserta laporan kesesuaian tanah ini dikenakan bayaran berdasarkan akta Fee 1951, Perintah Fee (Pemeriksaan Tanah) (Pindaan) 1995.

Jumlah bayaran dikenakan ialah sebanyak RM120 bagi pemprosesan dan kadar sehektar adalah antara 50 sen ke RM40 bergantung kepada jenis siasatan yang diperlukan dan keadaan kawasan yang dipohon sama ada telah dibangunkan atau masih dalam keadaan hutan dan semak.

Sebagai pemegang amanah maklumat tanah negara, Jabatan Pertanian juga berperanan mendaftarkan semua jenis tanah. Jenis tanah ini disebut sebagai siri tanah.

Secara amnya, siri tanah didaftarkan sempena nama tempat ia mula dijumpai dan sifatnya tidak menyerupai mana-mana siri tanah lain dalam rekod Jabatan Pertanian.

Sebagai contoh, tanah Siri Bungor yang terbentuk daripada batuan syal, bertekstur lempung berpasir halus dan tanahnya dalam mula-mula dijumpai di sekitar Paya Bungor, Kuantan, Pahang.

Tanah yang mempunyai sifat-sifat yang sama akan turut dipetakan sebagai Siri Bungor walaupun dijumpai di tempat-tempat lain.

Sehingga kini, Jabatan Pertanian telah mendaftarkan lebih 300 siri tanah yang dijumpai di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi tujuan latihan dalam bidang pengelasan tanah, pihak jabatan turut menganjurkan program Korelasi Tanah yang disertai oleh pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, agensi kerajaan, penyelidik, pensyarah dan lain-lain pihak yang berkaitan.

Kepada pelanggan Jabatan Pertanian yang ingin memohon khidmat penyiasatan tanah, bolehlah memajukan permohonan ke Jabatan Pertanian sama ada terus ke Ibu Pejabat di Putrajaya atau kepada unit-unit negeri dengan menyertakan peta kadestra, nombor lot tanah, peta lokasi atau lain-lain maklumat yang boleh menunjukkan secara jelas lokasi dan keluasan kawasan yang hendak dijalankan siasatan tanah.