Motosikal yang membawa muatan sampah atau lebih dikenali sebagai moci oleh penduduk setempat itu kemudiannya membelok ke satu simpang dan tiba di sebuah rumah yang mempunyai papan tanda bertulis Bank Sampah Abukasa.

Bank sampah itu yang dibina atas keprihatinan penduduk setempat sejak 14 Disember 2011 di kawasan Banjar Tagtag Tengah, Keluruhan Peguyangan, Denpasar turut berfungsi mengurangkan masalah longgokan sampah sarap di kawasan tersebut.

Menurut Pengasas Bank Sampah Abukasa, I Nyoman Astawa, antara tujuan utama beliau mewujudkan tempat pembuangan sampah tersebut kerana keadaan Sungai Tagtag yang dipenuhi sampah sarap.

“Keadaan sungai itu menjadi sangat kotor dan tercemar disebabkan masalah pembuangan sampah yang tidak terkawal. Jadi, saya ambil inisiatif mewujudkan bank sampah ini dengan harapan dapat memulihkan kembali kebersihan sungai.

“Penduduk setempat juga dididik supaya mengasingkan sampah organik dengan sampah domestik sebelum dimasukkan ke dalam tong yang disediakan di bank sampah,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Nyoman juga mengajak penduduk untuk menggunakan khidmat moci yang dikendalikan oleh Bank Sampah Abukasa bagi menguruskan sampah sarap mereka.

Bagaimanapun, saranan berkenaan tidak mendapat sokongan daripada penduduk setempat berikutan mereka enggan membayar wang upah bagi menggunakan khidmat moci.

“Saya pernah pergi dari rumah ke rumah untuk berjumpa penduduk bagi menerangkan mengenai program pembuangan sampah itu agar dapat mencipta persekitaran yang lebih bersih.

“Kalau mereka tidak mahu bayar wang upah perkhidmatan moci, saya bersedia memotong gaji yang diterima sebagai ketua kampung untuk membayar tukang kutip sampah tersebut,” ujarnya.

Kegigihan Nyoman untuk meyakinkan penduduk setempat mengenai budaya menjaga kebersihan akhirnya membuah hasil apabila seramai 150 keluarga di kampung tersebut bersedia menguruskan sampah secara sendiri menerusi khidmat Bank Sampah Abukasa.

Bagi tujuan itu, setiap penduduk dikehendaki membayar kira-kira Rp5,000 (RM1.40) hingga Rp30,000 (RM8.60) sebulan bergantung kepada jumlah sampah yang dikutip oleh moci.

Setiap dua hari sekali, moci akan mengelilingi kawasan kampung dan mengutip sampah di rumah penduduk.

Mereka yang bertugas sebagai moci merupakan mahasiswa daripada pelbagai universiti di sekitar Denpasar. Mereka secara berganti-ganti akan mengutip sampah mengikut jadual yang ditetapkan.

Bergotong-royong

“Proses pengutipan sampah biasanya dilakukan sama ada pada waktu pagi atau petang bergantung kepada kelapangan mereka yang perlu memberikan tumpuan kepada sesi kuliah,” jelasnya.

Pada tahun 2016, Bank Sampah Abukasa telah menerima bantuan moci daripada PT Pertamina bagi membantu melicinkan proses mengutip sampah di kawasan perkampungan tersebut.

Jelas Nyoman, sebelum ini pihaknya hanya mempunyai satu moci yang bertugas dan mereka perlu mengelilingi kampung hingga empat kali sehari untuk mengutip sampah.

“Jika moci itu rosak, ia menyebabkan proses mengutip sampah turut terganggu,” tambahnya.

Bagaimanapun, kami amat bersyukur kerana PT Pertamina telah memberikan sebuah moci baharu dan ia dijangka bakal memudahkan proses mengutip sampah kelak.

“Dengan adanya dua buah moci itu, penduduk tempatan juga dilihat semakin rajin bergotong-royong membersihkan kawasan kampung hingga membolehkan Sungai Tagtag kelihatan lebih jernih.

“Lebih membanggakan, Kampung Banjar Tagtag turut berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan kebersihan kampung pada 2017 selepas pelaksanaan bank sampah tersebut,” katanya.

Bank Sampah Abukasa turut membangunkan program kitar semula sampah bagi membolehkan penduduk setempat menjana ekonomi menerusi hasil jualan barangan terbuang itu.

Hasil daripada program kitar semula itu, penduduk berjaya menghasilkan pelbagai produk komersial seperti cenderamata dan ia dijual kepada pelancong yang bercuti di Bali.

“Saya berjaya menghasilkan produk kraf tangan seperti bekas letak pensel, pinggang hiasan dan bekas buah daripada kertas yang dikitar semula.

“Ada sesetengah pelancong antarabangsa beranggapan produk itu diperbuat daripada rotan namun setelah diamati ia sebenarnya dihasilkan daripada lipatan kertas-kertas terpakai,” katanya.

Barang terpakai

Nyoman menambah, beliau turut mendidik pelajar dan mahasiswa di Bali untuk bersikap lebih kreatif bagi menghasilkan produk komersial daripada barangan terpakai.

“Bank Sampah Abukasa juga bakal bekerjasama dengan pihak pemerintah Denpasar bagi mengadakan program seperti bandar tanpa sampah bertujuan membina persekitaran yang lebih bersih dan teratur,” ujarnya.

Sementara itu, kejayaan Bank Sampah Abukasa mendidik masyarakat menguruskan sampah dengan lebih sistematik turut diakui oleh salah seorang peserta program itu, Ketut Sukada.

Menurut Sukada, sejak penubuhan bank sampah itu, kawasan persekitaran kampung dilihat lebih bersih berbanding sebelum ini yang dipenuhi sampah sarap.

“Ekonomi penduduk setempat juga semakin baik apabila pelbagai barangan kitar semula yang dijadikan produk kraf tangan mendapat sambutan baik daripada pelancong,” jelasnya.