Hasil daripada penggunaan garam bukit itu telah menimbulkan idea kepada Marina Hishmah Sukeng, 33, untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

Akhirnya, lahirlah dua produk keluaran syarikatnya, Marina Global Biz iaitu Sabun Garam Gunung Organik dan Aroma Asli Garam Rendam Kaki/Badan.

“Ianya bermula pada tahun 2013 dan apabila saya mula menghasilkan dan menjual sabun ini dalam kalangan keluarga terdekat, rakan-rakan dan dalam talian.

“Berdasarkan respons yang baik daripada mereka, permintaan terhadap sabun ini semakin meningkat dan pada tahun lalu saya memutuskan untuk memasarkannya dengan lebih meluas,” katanya ketika ditemui K2 di Hotel MTree, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Garam bukit berfungsi sebagai pemangkin dalam tindak balas kimia dan membantu penghadaman, pencernaan makanan, mengurangkan masalah angin serta gastrik. Ia sangat cekap melancarkan pengaliran darah, merangsang kelenjar untuk merembes hormon, asid amino, mineral dan vitamin oleh organ tubuh. Ia kaya dengan iodin dan mampu mengimbangi kalsium dalam tubuh iaitu mineral yang penting untuk mencegah osteoporosis.

Menurut Marina, sabun keluaran syarikatnya dipercayai mampu merawat masalah kulit seperti jerawat, parut, kulit berminyak, membuang kotoran, toksin dan sel-sel kulit mati.

Selain itu, ia mampu melembut, mencerahkan kulit, menenangkan fikiran, menambah vitamin pada kulit, mengekalkan keremajaan kulit dan menghilangkan kegatalan kulit.

Seisi keluarga

Menurut wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, sabun garam gunung organik juga sesuai untuk kegunaan sekeluarga dan mereka yang berkulit sensitif.

“Sabun ini diperbuat daripada garam bukit tulen dengan khasiat mineral semula jadi. Bila dibasahkan dengan air, sabun ini rasa licin dan gunakan dari kaki hingga muka. Ia juga tidak berbau dan mengeluarkan buih.

“Selepas itu biarkan beberapa minit sebelum mandi seperti biasa. Pengguna juga boleh mandi menggunakan sabun biasa selepas itu,” katanya yang memiliki kilang di Bukit Lintang, Melaka.

Kilang tersebut kini mengeluarkan masing-masing kira-kira 60,000 kotak Sabun Garam Gunung Organik dan Aroma Asli Garam Rendam Kaki/Badan.

Produk Aroma Asli Garam Rendam Kaki/Badan kaki pula dikatakan mampu menyegarkan kaki daripada kebas dan lenguh, melancarkan pengaliran darah, mengurangkan toksid, lemak atau kolesterol. Ia sesuai digunakan untuk orang dewasa terutamanya warga emas.

Bagi sabun, ia dijual pada harga RM38 sekotak, manakala Aroma Asli Garam Rendam Kaki/Badan pula RM20 sebotol yang dipasarkan di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Pemilik Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara, Semarahan itu berkata, pihaknya kini mempunyai 20 orang ejen dan menyasarkan untuk menambah bilangan tersebut kepada 200 orang.

Mereka yang berminat untuk membeli dan menjadi ejen, boleh menghubungi talian hotline 014-388 7100.