Beliau bukan saja arif dalam ilmu bacaan al-Quran terutamanya ilmu tajwid, qiraat dan tarannum bahkan ketinggian ilmunya dalam bidang tersebut telah melayakkan beliau dilantik menjadi hakim tilawah dan hafazan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Allahyarham juga diberi kepercayaan untuk menjadi hakim di beberapa buah negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Qatar dan lain-lain. Ini bermakna kealiman beliau dalam bidang al-Quran diakui oleh bangsa Arab bagi menilai bacaan peserta untuk mencari dan menentukan juara dalam musabaqah al-Quran.

Ramai yang mengenali beliau melalui talaqqi al-Quran, mengikuti pengajian tajwid mendengar syarahan di bengkel tajwid atau mengikuti kursus kaedah penghakiman al-Quran.

Secara peribadi, saya mengenali Allahyarham di pentas majlis tilawah al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu pernah juga bersamanya dalam lajnah semakan teks al-Quran di Kementerian Dalam Negeri.

Sebagai kenalan, Hassan terkenal sebagai seorang yang merendah diri dan suka mendengar pendapat orang lain, namun ketika menghuraikan sesuatu hukum tajwid, beliau adalah juara.

Bait syair

Hassan akan menggunakan bait-bait syair dalam ilmu tajwid untuk menjawab permasalahan.

Kalamnya berkaitan tajwid amat kemas kerana segala hujahnya diberi contoh yang jelas dengan membacakan secara tepat.

Pernah saya bertanya kepada beliau berkaitan sebutan iqlab sama ada merapatkan dua bibir atau dibukakan sedikit atau disebut furjah. Hassan menjawabnya dengan merapatkan kedua-dua bibir tanpa dikemaskan.

Pendapat ini selari dengan jawapan tokoh al-Quran mutaakhirin seperti Syeikh Kurayyim Rajih.

Mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah, Allahyarham mendapat pendidikan mengenai al-Quran secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

Antara guru beliau ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim.

Anak kelahiran Mekah itu berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan.

Bagi meningkatkan penguasaan bahasa Arabnya, Allahyarham menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun.

Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.

Pada era 70-an, Allahyarham dijemput untuk menjadi hakim dan qari al-Quran di Haflah al-Quran di Pakistan, bersama tokoh al-Quran yang lain seperti Syeikh Mahmud Khalil al-Hussary, Syeikh Abdul Basit Abdul Samad, Syeikh Salahuddin Kabbarah dan lain-lain.

Karya

Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan al-Quran dengan menghasilkan rakaman 30 juzuk al-Quran dan penulisan dalam ilmu tajwid yang menjadi rujukan.

Walaupun usianya yang lanjut, kecintaan Hassan terhadap ilmu al-Quran sentiasa membara. Antara yang menjadi rujukannya ialah Syeikh Mahmud Amin Tantawi dari Mesir yang semasa hayatnya selalu dijemput sebagai hakim antarabangsa di negara ini.

Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Pada 6 Oktober lalu, Hassan telah kembali kepada Pencipta-Nya pada usia 90 tahun.

Namun jasa dan ilmunya terus diwarisi melalui anak-anak muridnya di seluruh Malaysia. Selain itu, Hassan meninggalkan karya yang amat kreatif berkaitan waqaf dan ibtida’ dalam bacaan al-Quran yang diterbitkan oleh Telaga Biru.

Mushaf waqaf dan ibtida ini banyak membantu pembaca al-Quran untuk berhenti dan memulakan bacaan dengan cara yang tepat dan betul.

Seorang penulis menyatakan, ‘Semisal Allahyarham Hassan tidak mungkin ada di tanah air buat kali kedua’, namun kita amat mengharap tokoh-tokoh muda al-Quran yang mempunyai bacaan yang baik perlu menambah ilmu berkaitan tajwid, fasohah, waqaf ibtida, Rasm Dabt dan lain-lain seperti Hassan yang sentiasa menambah ilmu.

Semoga amalan soleh yang ditinggalkan Allahyarham seperti ilmu yang bermanfaat terus mengalir pahalanya dan semoga Allah menganugerahkannya syurga Firdaus bersama para nabi dan solehin.