Ia juga boleh mendatangkan gejala negatif apabila berlebihan dan tidak terkawal.

Para ahli psikologi telah membincangkan beberapa gangguan mental yang disebabkan oleh peningkatan penggunaan internet dan teknologi yang menyebabkan manusia ketagihan seperti bermain Facebook dan Instagram.

Beberapa jenis gangguan mental telah dibincangkan seperti selfitis.

Selfitis adalah sejenis gangguan mental baharu yang menyebabkan ketidaktentuan keadaan mental seseorang akibat daripada kecenderungan berselfie atau berswafoto.

Seorang individu itu akan mengalami kegelisahan selagi mereka tidak dapat berswafoto dan berkongsi detik tersebut di media sosial. Selalunya ia akan menimbulkan kemurungan yang berpanjangan.

Golongan ini biasanya obses untuk berswafoto dalam apa sahaja perkara dan kadangkala melibatkan perkara-perkara yang tidak terlintas dalam fikiran kita sebagai individu normal seperti berswafoto ketika isteri sedang dalam keadaan mahu melahirkan anak.

Kajian sebuah majalah yang bertajuk An Exploratory Study of ‘Selfitis’ and the Development of the Selfitis Behaviour Scale mendedahkan, terdapat tiga faktor utama yang mendorong individu itu menjadi ketagih untuk berswafoto.

Daripada jumlah mereka yang ketagih itu, 25.5 peratus adalah kronik, 40.5 peratus pada tahap bahaya dan 34 peratus adalah peringkat permulaan.

Golongan lebih muda yang terdiri daripada kelompok usia 16 hingga 20 tahun dikatakan cenderung menunjukkan tanda-tanda selfitis.

Baiki mood

Golongan ini dikatakan berswafoto lebih daripada lapan kali setiap hari, dengan 25 peratus daripadanya berkongsi setidak-setidaknya tiga swafoto di media sosial.

Selalunya, mereka yang ketagih berswafoto ini mempunyai sebab tersendiri untuk berkelakuan sedemikian, contohnya mahu meningkatkan rasa kepercayaan diri.

Ada juga dalam kalangan mereka yang ketagih ini berkelakuan sedemikian disebabkan oleh mahu mencari perhatian di internet serta memperbaiki mood mereka.

Kebanyakan daripada golongan ini berasa puas setelah melihat hasil foto selfie mereka dan seterusnya mood mereka biasanya bertambah baik serta memenuhi kepuasan diri.

Ada juga antara mereka ini ingin mengabadikan kenangan dalam sesuatu situasi itu agar ia sentiasa dikenang.

Golongan ini juga kerap berswafoto kerana ia adalah kaedah menyampaikan ‘komunikasi’ dan ingin menjadi kompetitif dalam kelompok sosial mereka.

Tingkah laku ini telah melahirkan satu istilah baharu seperti ‘kecanduan foto’.

Adakah anda pernah berasa telefon pintar anda bergetar di saku padahal tidak ada yang terjadi?

Itu adalah dikatakan sebagai phantom ringing syndrome. Ini merupakan satu lagi kesan gangguan mental yang timbul daripada ledakan penggunaan gajet.

Hal ini adalah satu ciri halusinasi kerana otak berasakan sensasi yang tidak ada.

Menurut kajian di atas, 70 peratus pengguna yang mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada telefon pintar mengalami phantom ringing syndrome.

Keadaan ini berlaku daripada tingkah laku rutin akibat daripada getaran penggunaan telefon pintar yang terlalu kerap.

Perubahannya adalah getaran telefon bimbit dan sedikit isyarat dalam otot yang berasakan pergerakan dalam pakaian dapat ditafsirkan sebagai getaran yang datang daripada telefon pintar.

Satu lagi kesan dilusi kecanduan teknologi digital ialah kebanyakan percakapan dan pertemuan generasi media sosial akan dimulai dengan ‘maklumat itu saya Google beberapa hari yang lalu’.

Hal itu menunjukkan betapa pentingnya Google dalam kehidupan manusia.

Mati otak

Sindrom di atas akan menjadikan manusia semakin malas berfikir dan mewujudkan satu generasi ‘mati otak’.

Ia juga tidak dilihat sebagai satu keadaan iaitu kreativiti itu dibina dan disuburkan.

Ini secara tidak langsung mengkondisikan fikiran manusia untuk menyimpan dan mengingat lebih sedikit maklumat kerana individu telah terlazim bahawa semua persoalan boleh terjawab hanya dengan beberapa klik.

Penelitian menunjukkan akses terhadap maklumat yang tidak diurus dengan baik dan menyebabkan otak manusia kurang menyimpan maklumat.

Kemajuan dalam teknologi digital telah membentuk memori luaran iaitu maklumat disimpan secara kolektif di luar diri seseorang individu dan menyebabkan golongan ini perlukan kebergantungan yang tinggi pada alat tertentu untuk membuat sesuatu keputusan.

Kesan mendatar aktiviti kecanduan teknologi digital ini tidak lagi menggalakkan individu untuk berfikir dan jarang melibatkan penggunaan otak dalam aktiviti harian biasa seperti mengingati, berfikir, menyelesaikan masalah dan lain-lain.