Justeru, syarikat pengeluar minuman, Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) 
baru-baru ini buat pertama kali menjalankan kerjasama bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menggalakkan para pelajar dari 16 buah sekolah rendah dan menengah di Ampang Jaya, Selangor untuk mempelajari selok belok kitar semula.

Program yang berjaya mengumpul sebanyak hampir 30,000 kilogram (kg) bahan kitar semula dan berlangsung selama tujuh bulan itu bertujuan bagi membentuk sikap para pelajar agar menjadi pencetus perubahan dengan menjadi lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Disokong oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd,, program tersebut menyaksikan penyertaan 10 buah sekolah rendah dan enam sekolah menengah di bawah anjuran MPAJ, yang berusaha mengumpulkan bahan kitar semula paling banyak bagi setiap pelajar dalam usaha mereka bersaing untuk merebut hadiah wang tunai sebanyak RM10,200.

Kongsi Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, kempen kitar semula sekolah merupakan platform untuk pelajar memainkan peranan penting dan menyumbang kepada persekitaran yang bersih dan hijau sambil meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya kitar semula selain menggalakkan rakan dan keluarga untuk membudayakan amalan ini dalam rutin harian mereka.

“Jika kita lihat, angka kutipan bahan kitar semula pada program kali ini adalah sangat tinggi dan hal demikian menunjukkan minat mereka dalam kitar semula selain bersungguh-sungguh memastikan alam sekitar lebih hijau dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari turut memuji sikap positif yang ditunjukkan oleh kesemua peserta selain turut menggalakkan pelajar menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada amalan hidup dan bukan memandangnya sebagai satu tugasan mahupun bebanan.