Dalam tempoh tiga dekad, Fernleaf antara jenama susu yang dipercayai oleh ibu bapa untuk memberikan nutrisi terbaik kepada ahli keluarga.

Khasiat tenusu dari ladang New Zealand itu membantu mengekalkan diet yang sihat dan seimbang terutama untuk kanak-kanak.

Malangnya, masih ramai kanak-kanak di negara ini tidak berkesempatan untuk mendapatkan khasiat susu.

Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada anak-anak yang hidup dalam keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal secara beramai-ramai termasuklah di rumah anak yatim dan rumah perlindungan.

Malah terdapat kalangan kanak-kanak ini yang hanya mendapatkan kalsium susu ketika masih bayi melalui susu ibu semata-mata.

Mereka ini tidak berpeluang mendapatkan khasiat yang sepatutnya seiring pertumbuhan badan kerana pelbagai kekangan.

Menyedari hakikat tersebut, Fernleaf dengan kerjasama rangkaian pasar raya Mydin melancarkan kempen Goodness Feeds Greatness Fernleaf.

Kempen bermatlamat menyediakan nutrisi dan pemakanan susu tepung kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu berjaya menyumbang sebanyak 500 kilogram (kg) susu tepung kepada 10 buah rumah amal di seluruh negara.

Antara rumah amal terlibat ialah Agathians Shelter di Petaling Jaya, Selangor; Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Seremban, Negeri Sembilan; Vision Home, Ipoh, Perak; Rumah Anak-Anak Yatim Islam Jasin, Melaka; Villa Paulos, Johor dan Rumah Amal Permata Hatiku di Kuala Lumpur.

Hasil jualan

Paling menarik, sumbangan tersebut adalah merupakan hasil jualan pek susu tepung Fernleaf di Mydin selama sebulan bermula 15 Oktober hingga 15 November tahun lalu.

Bagi setiap pek yang dijual, sebanyak 50 gram susu tepung disumbangkan kepada tabung amal menjadikan orang ramai sebagai penyumbang utama kepada kempen tersebut.

Pengarah Pengurusan Fonterra Brands Malaysia & Singapore, Jose Miguel Porraz-Lando berkata, pihaknya mahu menyebarkan kebaikan susu Fernleaf dengan memberikan sokongan bukan sahaja kepada pengguna dan keluarga, malah kanak-kanak yang memerlukan.

“Fernleaf berbesar hati menjadi sebahagian daripada faktor kecemerlangan kepada berjuta-juta kanak-kanak sepanjang tiga dekad di pasaran.

“Atas dasar itu, kami mahu lebih ramai kanak-kanak mendapat nutrisi susu yang tepat untuk perkembangan minda dan kesihatan mereka.

“Semoga kanak-kanak di semua rumah amal terlibat menjadi lebih bersemangat meneruskan kehidupan apabila mendapat khasiat dan nutrisi yang diberikan melalui sokongan masyarakat sekeliling yang sentiasa prihatin,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak di rumah amal Agathians Shelter baru-baru ini.

Tambah Porraz-Lando, misi tersebut tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama Mydin.

“Tanpa Mydin, kami tidak mungkin dapat mendekati begitu ramai rakyat Malaysia yang sudi menyokong kempen melalui pembelian dalam tempoh hanya sebulan.

“Kami berharap untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang bagi menjayakan lagi inisiatif menyumbang semula kepada komuniti kurang bernasib baik di Malaysia,”ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datin Wira Siti Hawa Mohd. turut meluahkan keterujaannya melaksanakan kerjasama korporat melalui kerja amal.

Tanggungjawab

Dia yang turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan di Agathians Shelter itu menyifatkan kerjasama tersebut sebagai cukup bermakna dan wajar dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

“Memberi kembali kepada masyarakat adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang berkemampuan. Kami mahu memberi peluang sama rata kepada kanak-kanak untuk mendapatkan nutrisi makanan yang sangat penting buat badan mereka.

“Justeru, kepakaran Fernleaf sebagai jenama tenusu berkualiti tinggi adalah sangat membantu dari segi aspek tersebut. Bagi pihak Mydin, kami sedia membantu melalui promosi barangan kepada pengunjung yang hadir membeli-belah di pasar raya kami,” katanya.