Mahseer merupakan antara spesies ikan yang menjadi kegilaan kaki pancing kerana sifat agresif selain kesukaran untuk mengesan lubuknya yang terletak jauh di kawasan pedalaman atau di tengah-tengah kawasan hutan belantara.

Ikan mahseer atau nama saintifiknya Tor tambroides banyak terdapat di India dan secara amnya di Asia Selatan.

Ikan tersebut mendiami kawasan hulu sungai dan tasik kerana faktor airnya yang bersih selain sering membiak di kawasan berbatu-batu.

Berasal daripada spesies ikan kap dalam keluarga cyprinidae yang bersisik, mahseer memiliki garisan yang jelas kelihatan di tengah-tengah bahagian badan selain bentuk sisik yang besar dan cantik.

Ikan mahseer dikenali dengan nama-nama berbeza di setiap daerah di Indonesia seperti ikan jurung di wilayah Sumatera Utara, ikan kerling (Aceh) dan ikan gariang (Sumatera Barat).

Spesies tersebut juga banyak terdapat di kawasan sungai berair jernih di Dataran Tinggi Gayo yang terletak di pedalaman atau hutan-hutan di Kabupaten Aceh Tengah serta Bener Meriah.

Menurut salah seorang kaki pancing di Takengon, Kabupaten Aceh Tengah yang dikenali sebagai Joe, kedua-dua daerah tersebut menawarkan banyak lokasi untuk kaki pancing memburu ikan masheer.

Dia sendiri turut mengakui sering menjelajah di setiap kawasan pedalaman hingga ke kawasan hutan di Aceh Tengah dan Bener Meriah untuk memburu spesies ikan tersebut.

“Penduduk di sini memanggilnya sebagai ikan gegaring,” katanya.

Produk pelancongan

Joe menjelaskan, mereka yang ingin memburu ikan tersebut di kawasan hutan Gayo perlu membawa peralatan perkhemahan sebagai persediaan bermalam di kawasan tersebut.

“Bekalan perlu dibawa secukupnya kerana memburu ikan mahseer di kawasan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari dua malam,” ujarnya.

Aktiviti memancing itu turut menjadi salah satu produk pelancongan alam sekitar kerana selain memburu, pelancong juga dapat menikmati keindahan panorama pergunungan di Dataran Tinggi Gayo dengan aliran air sungai yang jernih.

Misi kaki pancing akan lebih menyeronokkan apabila mereka berjaya menangkap ikan untuk dijadikan hidangan makan malam di tapak perkhemahan.

“Lokasi terdekat untuk melakukan aktiviti itu ialah di Gerpa, Kabupaten Bener Meriah yang jaraknya sekitar 30 kilometer dari Takengon,” ujarnya.

Joe memberitahu, dia lebih gemar menjadikan Gerpa sebagai lokasi pemburuan kerana jaraknya lebih dekat berbanding kawasan-kawasan lain yang memaksa mereka menyusuri pedalaman hutan Gayo.

Minat

Dia memberitahu, lokasi tersebut mudah dilawati kerana masih berada di kawasan pinggir kampung seperti Kampung Serule, Kecamatan Bintang, Kabupaten Aceh Tengah.

“Daripada kawasan perkampungan ke aliran sungai di Gerpa, jaraknya sejauh 8km dan pengunjung boleh menaiki kenderaan dua roda.

“Berbanding di kawasan-kawasan lain, jaraknya lebih jauh kerana perlu melalui kawasan pedalaman dan hutan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, antara kawasan yang perlu dilalui ialah kawasan hutan Pameu, Kecamatan Rusip Antara, Kabupaten Aceh Tengah dengan jarak kira-kira 60km dari kota Takengon.

Sementara itu, rakan Joe yang turut berkongsi minat yang sama iaitu Kiki memberitahu, aktiviti memburu ikan masheer buat kaki pancing seperti mereka berdua adalah kerana minat sahaja.

Menurutnya, hasil tangkapan ikan itu tidak akan dijual sebaliknya hanya untuk dimakan di lokasi perkhemahan.

Jelasnya lagi, ikan gegaring atau masheer sememangnya menjadi idaman kaki pancing setiap kali berburu dengan menggunakan teknik casting.

Ini kerana ikan jenis itu dikenali sebagai spesies yang suka menyambar dan menarik kuat ketika cuba melepaskan diri semasa pemancing sedang berusaha menaikkannya ke darat.

“Dalam kalangan pemancing, ikan ini dikenali sebagai spesies yang berkuasa di rimba dan banyak pemancing yang menjadikannya sebagai idaman untuk ditangkap.

“Di Malaysia misalnya sudah ada pakej pelancongan untuk memancing ikan ini,” kata Kiki.

Di Malaysia, ikan masheer dikenali sebagai ikan kelah yang mudah ditemui antaranya di Lubuk Tenor, Sungai Tahan, Taman Negara di Pahang dan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor.