Perubahan itu dilakukan bersempena dengan program I Love Kelantan Cultural Showcase @ Central Market (ILKCS).

Program yang dibawakan khas oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (PPPNK) itu memberi peluang kepada para pengunjung menikmati kebudayaan di negeri serambi Mekah tersebut.

Antara persembahan yang dipertontonkan ialah dikir barat, silat tari, rebana ubi dan kertok.

Menariknya, persembahan itu bersifat interaktif bagi membolehkan penonton mencubanya.

Menurut Pengurus Kompleks Pasar Seni Kuala Lumpur, Cheong Wai Mun, ia merupakan acara tahunan hasil kerjasama Pasar Seni dan PPPNK.

“Menerusi acara ini, para pengunjung dari dalam dan luar negara dapat mengenali budaya Malaysia dengan lebih mendalam.

“Kami berharap lebih banyak pihak akan tampil dengan acara kebudayaan seperti ini bagi menonjolkan keunikan komuniti Malaysia di mata generasi muda dan pelancong,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Pada tahun ini, pengunjung berpeluang menonton wadira, kombinasi wayang kulit, dikir barat dan teater menora yang julung-julung kalinya dipersembahkan secara percuma di ruang terbuka.

Lebih eksklusif, sasterawan tersohor negara, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin turut menjayakan menora di pentas ILKCS bagi meraikan keindahan budaya.

Menurut Wai Mun, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang mengenali secara lebih dekat tentang seni tradisi popular di Kelantan itu.

Antaranya demonstrasi seperti pembuatan wau dan wayang kulit, mewarna batik, melukis karikatur dan pelbagai kerja tangan tradisional.

“Tidak ketinggalan, sajian tradisi seperti serunding, tempoyak dan minuman soda turut tersedia di tapak acara.

“Sambutan yang diterima pada program ini sangat menggalakkan. Ini jelas menunjukkan masih ramai yang cintakan seni tempatan,” katanya.

Bagi makluman lanjut tentang aktiviti dan promosi di Pasar Seni Kuala Lumpur, sila layari laman web www.centralmarket.com.my atau www.facebook.com/centralmarketkualalumpur.