Program yang berlangsung selama tiga jam itu bertujuan mengetengahkan seni dan budaya masyarakat Pantai Timur kepada para pengunjung.

Pada masa sama, program tersebut juga diharap dapat menjadi daya tarikan pengunjung untuk membeli-belah dan menjamu selera di bazar tersebut.

Pengerusi BMUP, Datuk Abdul Haniff Abdullah berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menganjurkan program itu dengan jayanya.

“Kami sedar, tidak semua berkesempatan untuk melawat ke Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi melihat dengan lebih dekat seni dan budaya masyarakat di sana.

“Justeru, kami terpanggil untuk menganjurkan program ini bagi menonjolkan seni budaya negeri-negeri tersebut,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

BMUP merupakan kawasan khas yang dibina untuk memudahkan para peniaga dan usahawan tempatan memasarkan produk mereka. BMUP turut mempunyai medan selera sendiri.

Program tersebut dimeriahkan dengan persembahan silat, Muay Thai dan persembahan muzik tradisional oleh beberapa persatuan yang berpusat di sekitar Lembah Klang.

Pengubat rindu

Antara kumpulan dan persatuan yang terlibat ialah Suara Muda Anak Kota Bharu, Persatuan Anak Kelate Puchong serta Muay Thai Kijang Emas.

Menurut Abdul Haniff, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program tersebut pada masa depan selepas mendapat maklum balas yang baik daripada para pengunjung.

Jelasnya, program seumpama itu sedikit sebanyak berjaya mengubat kerinduan warga Pantai Timur yang tinggal di ibu kota terhadap kampung halaman masing-masing.

Salah seorang pengunjung, Winnie Chok, 45, berkata, dia sangat teruja dapat melihat persembahan seni silat dan Muay Thai secara lebih dekat.

“Sebelum ini, saya cuma tengok persembahan ini dalam televisyen sahaja.

“Ini pertama kali saya melihat seni budaya dari negeri Pantai Timur. Program seperti ini sangat menarik dan saya harap ia dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan,” ujarnya.