Apatah lagi sikap kita yang sering menghitung nikmat sehingga lupa untuk bersyukur, lantas membuatkan jiwa semakin penat.

Sehubungan itu, Norizah Yaakub atau nama penanya Nurul Norizah menulis sebuah buku yang bertajuk Malaikat Berbaju Merah bagi mengisahkan betapa baiknya Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

“Buku ini merupakan peristiwa-peristiwa yang saya alami dan sarat dengan emosi ketika menunaikan haji serta umrah beberapa tahun lalu.

“Kisah suka, duka, bahagia, cemas, takut dan teruja yang bersatu menjadi teguran serta pengajaran Allah kepada saya telah dimuatkan di dalam buku ini,” katanya yang berasal dari Bagan Datuk, Perak.

Suatu ketika dahulu, dia merupakan pelajar pintar dan pernah dinobatkan sebagai Pemidato Terbaik Bahas Piala Perdana Menteri untuk sekolah-sekolah berasrama penuh di Malaysia.

Anak kedua daripada empat beradik itu diuji dengan sakit sehingga tidak dapat menyambung pengajiannya ke Universiti Texas, Amerika Syarikat di bawah tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ujian yang berlarutan menyebabkan dia hilang keyakinan diri dan mengalami anxiety disorder (gangguan kebimbangan) serta serangan panik.

Selepas bangkit lebih berani dan sihat, Norizah meneruskan impian sebagai penulis dengan bimbingan guru penulisan, Zamri Mohamad.

Menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah dan beberapa peristiwa yang terjadi benar-benar membuka mata Norizah untuk dikongsikan kepada pembaca.

“Saya ingin mereka merasa apa yang saya rasa. Betapa maha baiknya Allah dalam setiap peristiwa.

“Kejadian-kejadian itu dirangkumkan menerusi 18 tajuk dengan cerita yang berbeza dalam buku Malaikat Berbaju Merah,” ujarnya ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Antara kisah yang tidak boleh dilupakannya adalah ketika berada di Tanah Suci sewaktu menunaikan haji.

Jantung berdenyut

“Pada ketika itu jantung saya tiba-tiba berdenyut laju dan mata berpinar-pinar, lantas ia mengundang gangguan kebimbangan dan membuatkan saya berasa sangat takut.

“Banyak perkara yang bermain di kepala pada ketika itu termasuk memikirkan anak-anak yang masih kecil dan takutnya menghadapi kematian,” terangnya yang merupakan usahawan telekung, tudung, kelengkapan haji serta umrah.

Dalam keadaannya yang terbaring, Nurul Norizah belajar untuk reda andai itulah saatnya nyawa dicabut dan menyerah dirinya kepada Allah.

Ketika menerima segala ketentuan itu, tiba-tiba jantungnya kembali normal serta keadaan kembali pulih.

Pengajaran yang dapat dikutipnya daripada peristiwa itu adalah betapa penting penerimaan atas setiap ujian dan penyerahan total kepada Allah.

Bercerita mengenai karya sulungnya itu, Norizah berkata, sudah lama dia memasang hajat untuk menghasilkan buku apabila sudah sihat.

“Saya mengambil masa selama lapan bulan untuk menyiapkan buku setebal 197 muka surat ini.

“Buku ini akan membuatkan pembaca tidak sabar dan teruja untuk pergi ke Tanah Suci,” ujarnya.

Sebanyak RM2 daripada jualan buku tersebut akan dimasukkan ke dalam sebuah tabung tajaan haji dan umrah oleh pihaknya.

Di samping itu, buku Malaikat Berbaju Merah juga sangat istimewa kerana terdapat mutiara kata dan pengajaran di setiap tajuk.

Terdapat juga tip kreatif bersedekah dan senarai semak keperluan haji serta umrah secara terperinci sebagai bonus di penghujung bab.