Kepada sesetengah ibu-bapa atau penjaga, cuti sekolah bukanlah tiket untuk anak mereka berehat daripada menuntut ilmu.

Sebaiknya, masa terluang itu harus diisi dengan program-program bermanfaat supaya ia tidak berlalu begitu saja.

Menyedari hakikat itu, sebuah badan bukan kerajaan, Pesada al-Islah telah menganjurkan Kem Super Tahfiz Mega (KSTM).

Kem yang berlangsung mulai 27 November hingga 14 Disember itu berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya.

Mengetengahkan ilmu berbentuk kerohanian, kem tersebut terbuka kepada para semua pelajar berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Pendedahan

Wakil Pengerusi Persada al-Islah, Safuan Pamidi berkata, KSTM adalah program julung-julung kali yang dianjurkan oleh pihaknya.

Kem tersebut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai ilmu berkaitan agama Islam.

“Kami sedar, ramai ibu bapa yang sibuk dengan tugasan harian. Jadi, kami terpanggil untuk menganjurkan kem ini bagi membolehkan anak-anak mereka mendalami ilmu agama.

“Sebahagian daripada yuran kem ini akan disalurkan untuk dana pembinaan Tahfiz al-Islah di Kampung Jijah, Nilai, Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, KSTM berlangsung serentak di tiga lagi lokasi lain di Lembah Klang iaitu Masjid Universiti Putra Malaysia, Serdang; Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang; Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Menurut Safuan, sepanjang tempoh kem tersebut, pelbagai pengisian bermanfaat telah diatur. Antara pengisian tersebut termasuklah terapi rukyah, keperibadian Rasulullah SAW, rawatan Islam dan pengajian al-Quran.

“Bagi menjayakan pengisian ini, kami menjemput beberapa orang personaliti popular antaranya Iman Muda Syed Faris, Iman Muda Asyraf Mohd. Ridzuan dan Ustaz Sahib Pamidi.

“Kem ini turut mengundang Ustaz Sahib Pamidi iaitu penterjemah kepada ilmuan Islam yang berkunjung ke negara ini,” katanya.

Sepanjang tiga minggu tersebut, kelas bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Yuran yang dikenakan ialah RM250 seorang termasuk tiga kali makan. Dianggarkan lebih 1,000 peserta telah mengambil bahagian di semua lokasi penganjuran KSTM pada tahun ini.

“Alhamdulillah, jumlah peserta kem ini melebihi sasaran kami. Ini jelas menunjukkan ibu bapa mula sedar akan kepentingan ilmu agama kepada anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang waris peserta, Juriyah Amir, 40, memberitahu, KSTM merupakan sebuah kem yang amat ditunggu-tunggu olehnya ketika musim cuti sekolah.

Ilmu kerohanian

Jelas usahawan yang menetap di ibu negara itu, kem berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu anaknya mendalami ilmu kerohanian.

“Setiap kali cuti sekolah, saya pasti akan menghantar anak ke kem-kem seperti ini. Kebanyakan kem yang dianjurkan sebelum ini lebih bersifat latihan kendiri.

“Berbeza dengan KSTM, ia memberi penekanan dalam aspek keagamaan sekali gus dapat membentuk akhlak dan sahsiah anak saya,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, pengisian yang pelbagai dan menyeluruh membuat dia terbuka hati untuk menghantar anaknya ke KSTM.

Tambahnya, ia juga dapat membantu mengelak anaknya daripada menghabiskan masa bermain gajet sahaja di rumah. “Dengan adanya program ini, para pelajar tidak akan menghabiskan masa cuti sekolah dengan aktiviti tidak sihat seperti melepak dan bermain permainan video,” katanya.

Justeru, dia menyeru supaya kem seumpama itu diteruskan pada masa akan datang terutamanya ketika cuti sekolah.